
TIGA TABIKA TUNAS ISTIMEWA KEMAS MELAKA MANFAATKAN LEBIH 30 ANAK AUTISME
DUYONG 27 September – Tiga Tabika Tunas Istimewa Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) yang diwujudkan di Melaka sebagai negeri perintis telah memberi manfaat kepada lebih 30 kanak-kanak autisme di negeri ini.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Utama Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, kejayaan pelaksanaan program itu di Melaka turut menyaksikan pendekatan itu diperluaskan ke seluruh negara.
Katanya, inisiatif tersebut membuktikan peranan KEMAS semakin berkembang dalam menyediakan akses pendidikan yang bersesuaian dengan keperluan setiap kanak-kanak.
βMelaka sendiri menjadi antara bukti bagaimana KEMAS terus memperluaskan peranannya.
βKita telah diberi kepercayaan menjadi negeri perintis menerusi penubuhan tiga Tabika Tunas Istimewa@KEMAS khusus untuk anak-anak autisme, yang sehingga kini telah memberi manfaat kepada lebih 30 orang anak di negeri ini,β katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Festival Masyarakat KEMAS Negeri Melaka (FESMA) di Dewan Serbaguna Semabok Dalam, di sini, hari ini.
Teks ucapan beliau dibacakan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Salhah Salleh; Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer dan Ketua Pengarah KEMAS Datuk Mohd Hanafiah Man serta kenamaan lain.
Menurut Ahmad Zahid, hasil pelaksanaan rintis yang menunjukkan perkembangan positif itu kemudiannya menjadi asas kepada peluasan pendekatan berkenaan ke seluruh negara.
Katanya, setiap kanak-kanak mempunyai keistimewaan dan potensi tersendiri yang perlu diberikan ruang untuk berkembang mengikut keupayaan masing-masing.
βBagi saya, perkembangan ini cukup bermakna kerana setiap anak mempunyai keistimewaan dan potensi tersendiri.
βTanggungjawab kita adalah memastikan tiada seorang pun daripada mereka tercicir, sebaliknya terus diberi ruang untuk belajar dan berkembang mengikut potensi masing-masing,β katanya.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid berharap kerjasama antara KEMAS dan Kerajaan Negeri terus diperkukuh bagi menggerakkan kepakaran serta kekuatan kedua-dua pihak untuk manfaat rakyat.
βMelaka terdapat 302 Tabika, 24 Taska, lima Pusat Kegiatan Masyarakat serta sebuah Pusat Latihan KEMAS yang memberi manfaat kepada masyarakat di seluruh negeri ini,β katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

