
RM210,000 BANTU 50 PESERTA KEMAS JANA PENDAPATAN
DUYONG 27 September – Sebanyak RM210,000 diperuntukkan Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) bagi membantu 50 peserta menerusi inisiatif Quick Wins KEMAS dan Kit Sokongan Peralatan (IKSP) khususnya dalam bidang kemahiran yang berpotensi menjana pendapatan.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Utama Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, peruntukan itu membabitkan RM180,000 bagi inisiatif Quick Wins KEMAS yang memberi manfaat kepada 40 peserta dalam bidang masakan, dandanan diri dan seni tangan.
Katanya, sebanyak RM30,000 lagi diperuntukkan menerusi IKSP yang memberi manfaat kepada 10 peserta dalam bidang pengkhususan penjagaan selepas bersalin.
βJika kemahiran itu boleh membuka peluang pekerjaan, kita bantu buka jalannya.
βJika boleh menambah pendapatan keluarga, kita bantu kembangkan potensinya dan jika mempunyai potensi menjadi sebuah perniagaan, kita bantu mereka melangkah menjadi usahawan,β katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Festival Masyarakat KEMAS Negeri Melaka (FESMA) di Dewan Serbaguna Semabok Dalam, di sini, hari ini.
Teks ucapan beliau dibacakan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Salhah Salleh; Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer dan Ketua Pengarah KEMAS Datuk Mohd Hanafiah Man serta kenamaan lain.
Tambah Ahmad Zahid, peranan KEMAS kini tidak lagi terhad kepada pendidikan awal kanak-kanak, sebaliknya merangkumi pembangunan keluarga, latihan kemahiran, keusahawanan serta usaha meningkatkan keupayaan dan pendapatan masyarakat.
Katanya, pelbagai kemahiran yang ditawarkan KEMAS termasuk pembuatan roti, penyediaan makanan, jahitan, asas barista, kemahiran digital dan keusahawanan boleh dikembangkan mengikut potensi peserta.
βKerana akhirnya, kita tidak mahu peserta sekadar hadir mengikuti kursus. Kita mahu pulang membawa peluang.
βSesuatu kemahiran yang dipelajari menerusi kursus KEMAS mampu menjadi titik mula kepada pekerjaan, perniagaan kecil dan sumber rezeki baharu bagi sesebuah keluarga.
βMungkin bagi kita, ia hanyalah satu kursus membuat roti, tetapi bagi sebuah keluarga, satu kemahiran itu mungkin menjadi titik mula kepada satu pekerjaan, satu perniagaan kecil dan satu sumber rezeki baharu,β katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

