Tahun Harimau diharap bawa kemakmuran, kesejahteraan – PM Ismail Sabri

Masa Membaca:1 Minit, 11 Saat

KUALA LUMPUR, 1 Feb – Tahun Harimau sempena sambutan Tahun Baharu Cina tahun ini diharapkan terus mengeratkan hubungan antara kaum di negara ini, selain membawa kemakmuran dan kesejahteraan kepada Keluarga Malaysia, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

“Bukan sekadar masyarakat Cina, perayaan ini turut disambut oleh semua bangsa di negara ini.

“Ini melambangkan perpaduan kita, selaras dengan semangat Keluarga Malaysia,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina anjuran parti MCA, di Wisma MCA di sini hari ini.

Beliau yang tiba kira-kira pukul 9.30 pagi dengan kemeja berwarna merah dan diringi isteri Datin Seri Muhaini Zainal Abidin, disambut Presiden MCA yang juga Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.

Ismail Sabri kemudian menyertai barisan kepimpinan MCA untuk bersama-sama menggaul ‘Yee Sang’ di awal majlis itu.

Turut hadir pada majlis itu adalah barisan menteri kabinet antaranya Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali serta Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Turut hadir bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Majlis diadakan mengikut prosedur operasi standard (SOP) dan terhad kepada 300 tetamu jemputan, berbanding kapasiti Dewan San Choon yang boleh memuatkan sehingga 1,500 orang.

Sambutan itu turut disiarkan secara langsung di laman Facebook parti MCA.

Majlis dimeriahkan dengan tarian singa, persembahan kebudayaan dan nyanyian.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

574
Kongsi :
Previous post Lelaki maut ditembak lebih 10 das di parkir kondominium mewah
Next post Tahun baharu meriah meskipun berbeza agama
Ubah saiz-+=