Kira-kira 5,422 PPS mampu tampung mangsa banjir

Masa Membaca:1 Minit, 9 Saat

REMBIA 1 Okt. – Kira-kira 5,422 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang disediakan seluruh negara berada pada kadar mencukupi sebagai persediaan menghadapi musim tengkujuh tahun ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas) Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof berkata, PPS yang disediakan di semua lokasi di negara ini mampu menampung seramai 1,554,713 mangsa yang menghadapi insiden banjir pada satu-satu masa.

Bagaimanapun katanya, dalam tempoh bencana yang berlaku sebelum ini hanya seramai 500,000 mangsa telah dipindahkan ke PPS.

“Bagi berdepan situasi yang dijangkakan itu pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) akan dijalankan di PPS malah akan mengurangkan jumlah mangsa di sesebuah lokasi dalam satu-satu masa.

“SOP ini akan dilaksanakan dengan mengurangkan jumlah mangsa bergantung kepada keluasan PPS mengikut ketetapan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan lawatan kerja di Alor Gajah, pagi tadi.

Pada masa sama menurutnya, setiap agensi yang terlibat dalam pengurusan bencana itu telah bersiap-siaga mendepani bencana yang bakal berlaku tidak lama lagi.

Katanya, lebih 4,000 pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dengan bantuan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia berserta aset maing-masing telah bergerak dan menyelaraskan setiap kebarangkalian yang berlaku bagi menghadapi situasi terbabit.

“Keperluan PPS berserta perolehan terhadap kelengkapan-kelengkapan tertentu telah disenaraikan dan kita akan menyemak semula bagi melaksanakan proses seterusnya bagi persediaan kali ini,” katanya.

Views:

414
Kongsi :
Previous post GRS teraju Sabah bukti sokongan rakyat mahukan kesaksamaan
Next post ADUN Ayer Limau positif COVID-19
Ubah saiz-+=