GRS teraju Sabah bukti sokongan rakyat mahukan kesaksamaan

Masa Membaca:1 Minit, 4 Saat

REMBIA 1 Okt. – Kemenangan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah membuktikan sokongan rakyat di negeri itu mahukan kesaksamaan yang selari dengan Kerajaan Pusat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas) Datuk Seri Mohd Redzuan Md. Yusof berkata, kesaksamaan pemerintahan kerajaan negeri dan Kerajaan Pusat yang dipilih rakyat mampu memudahkan segala pergerakan dasar kerajaan yang diusahakan.

Jelasnya, kemenangan diperoleh daripada pilihan raya itu menjamin pelbagai usaha yang akan diperuntukkan dengan lebih telus dan efektif bagi menjamin pembangunan masyarakat di kawasan terbabit.

“Kemenangan ini menjadikan kita bergerak sebagai satu pasukan dan akan menjadikan peruntukan yang diperlukan lebih telus melalui saluran yang lebih efisien.

“Dengan adanya kerajaan negeri yang sehaluan dengan Kerajaan Pusat ini, kita akan pastikan sesebuah tempat itu akan dibangunkan yang bukan sahaja meliputi sektor ekonomi, namun kesejahteraan rakyat di sesebuah kawasan akan dilaksanakan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan Lawatan Kerja di Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Alor Gajah, di sini pagi tadi.

Kemenangan GRS pada PRN Sabah Sabtu lalu (26 September) telah membawa keputusan luar biasa menandakan sokongan rakyat di Negeri Bawah Bayu itu berpihak kepada kerajaan hari ini.

PRN Sabah menjadi bukti bahawa kesepakatan antara tiga gabungan iaitu Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan Parti Bersatu Sabah (PBS) telah menjadi kepada kunci kejayaan itu.

Views:

233
Kongsi :
Previous post Bomba sanitasi Seri Negeri
Next post Kira-kira 5,422 PPS mampu tampung mangsa banjir
Ubah saiz-+=