‘Kita Saye Demo’ misi bantu mangsa banjir ke Selangor – JBPM Kelantan

Masa Membaca:1 Minit, 16 Saat

KOTA BHARU, 4 Jan- Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Kelantan bersama-sama 18 badan bukan kerajaan (NGO) berlepas ke Selangor, hari ini dalam misi bantuan banjir ‘Kita Saye Demo’.

Pengarah JBPM Kelantan Jainal @ Zainal Madasin berkata misi tersebut bertujuan meringkan beban mangsa yang terlibat dengan banjir selain membantu pegawai dan anggota bomba di negeri berkenaan.

“Seramai 45 sukarelawan termasuk 10 pegawai dan anggota JBPM Kelantan menyertai misi terbabit sebagai balasan atas bantuan JBPM negeri lain termasuk Selangor yang pernah membantu negeri ini ketika banjir 2014.

“Antara NGO terlibat dalam misi ini ialah Thirdforce di bawah Yayasan Raja Shamri (YRS), Gabungan NGO hadapan Kelantan (GOHEK) dan Team Amal Rakyat Bantu Rakyat (TARBYAT),” katanya dalam sidang media selepas melancarkan Program ‘Kita Saye Demo’ di perkarangan Ibu Pejabat JBPM Kelantan, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata misi ini juga adalah sebagai tanda semangat berpasukan antara agensi keselamatan dengan NGO dalam membantu masyarakat terutamanya mangsa banjir yang ditimpa bencana alam itu.

“Saya berharap misi ini dapat mengurangkan beban dan kesedihan mangsa banjir di Selangor yang mungkin ada dalam kalangan mereka yang pertama kali berdepan dengan situasi banjir luar jangkaan ini.

“Selain Selangor misi ini juga akan diteruskan ke lokasi lain namun memerlukan perbincangan secara terperinci agar segala objektif dapat dicapai,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Zainal berkata walaupun anggotanya diarahkan bertugas untuk membantu mangsa banjir di negeri lain, namun (JBPM) Kelantan sentiasa bersiap siaga menghadapi sebarang kemungkinan jika berlaku banjir gelombang ketiga di negeri ini.- BERNAMA

 

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1201
Kongsi :
Previous post Desas desus tiga menteri digugurkan hanya spekulasi- PM
Next post Cuaca bertambah baik, amaran hujan berterusan lima negeri ditamatkan
Ubah saiz-+=