Desas desus tiga menteri digugurkan hanya spekulasi- PM
GANGSA 4 Jan- “Setakat ini selagi saya tidak umumkan, hanya kekal spekulasi,” kata Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Beliau berkata demikian menjawab khabar angin berhubung pengguguran tiga menteri dalam kabinet yang bertiup kencang pada ketika ini.
Katanya, sehingga kini fokus utama beliau adalah untuk menyelesaikan isu banjir dan COVID-19.
“Isu gugurkan menteri, saya tidak mahu menjawab, sekarang ini fokus utama saya adalah banjir, rakyat tengah susah,” katanya dalam sidang media selepas melawat Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Gangsa, Durian Tunggal, hari ini.
Hadir sama, Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Utama, Sulaiman Md Ali dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Kamel Mohamad serta lain-lain kenamaan.
Terdahulu, media arus perdana melaporkan desas desus mendakwa berlaku rombakan kabinet yang bakal dilakukan dalam masa terdekat oleh Perdana Menteri.
Tiga nama yang didakwa menjadi perhatian termasuk Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas), Datuk Dr Abd Latiff Ahmad; Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Datuk Seri Rina Harun dan Menteri Perpaduan, Datuk Halimah Mohamed Sadique.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.