Banjir: PM lawat mangsa banjir dua PPS di Melaka
ALOR GAJAH 4 Jan – Seramai 165 mangsa daripada 42 keluarga di Pusat Penempatan Sementara (PPS) SMK Seri Pengkalan menerima bantuan bencana dari Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini.
Sumbangan bencana berjumlah RM1,000 itu diberikan dalam satu lawatan khas beliau ke dua buah PPS di daerah Alor Gajah.
Ketibaan beliau kira-kira jam 3.05 petang di PPS SMK Seri Pengkalan disambut Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun, Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali dan lain-lain kenamaan.
Lawatan beliau selama 15 minit bagi beramah-mesra bersama mangsa banjir selain bertanyakan khabar akan nasib yang menimpa mereka.
Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Kamel Mohamad dan Exco Kebajikan, Datuk Kalsom Noordin, Ahli Parlimen Alor Gajah, Datuk Seri Mohd Redzuan Mohd Yusof serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rembia, Datuk Muhammad Jailani Khamis.
Terdahulu, Ismail Sabri turut melawat PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Gangsa bagi bertanya khabar keadaan mangsa banjir ditempatkan di pusat pemindahan berkenaan.
PPS SK Gangsa menempatkan seramai 225 mangsa membabitkan 55 keluarga.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.