KKM senarai lapan negara dalam sekatan perjalanan

Masa Membaca:59 Saat

PUTRAJAYA, 1 Dis – Kementerian Kesihatan (KKM) menyenaraikan lapan negara dalam sekatan perjalanan sementara, dengan Malawi menjadi yang terkini dalam senarai tersebut susulan penularan varian baharu COVID-19 yang dikenali sebagai Omicron.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata pada 26 Nov lepas, KKM menyenaraikan Afrika Selatan, Botswana, Eswatini, Lesotho, Mozambique, Namibia dan Zimbabwe dalam senarai sekatan perjalanan sementara.

“Hari ini, Malawi tersenarai menjadikan jumlah negara terkini dalam senarai sekatan perjalanan adalah sebanyak lapan negara,” katanya pada sidang media perkembangan semasa varian Omicron dan COVID-19 di Malaysia di sini, hari ini.

Beliau berkata 20 negara sudah melaporkan pengesanan varian Omicron setakat semalam dan 203 daripada 215 kes varian itu telah dilaporkan dalam laman web Global Initiative on Sharing All Influenza Data (GISAID).

Menurut Khairy, KKM akan menyediakan senarai negara yang melaporkan kes varian Omicron atau berisiko tinggi berlaku penularan jangkitan varian baharu itu secara harian untuk diedarkan kepada Kementerian Luar; Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya; Kementerian Pengangkutan dan Jabatan Imigresen melalui Majlis Keselamatan Negara.

Beliau berkata ia merupakan sebahagian daripada langkah-langkah kawalan serta pencegahan varian Omicron yang telah dibentang dan dipersetujui dalam Mesyuarat Kuartet Menteri COVID-19 semalam. -BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

448
Kongsi :
Previous post Dr Akmal, serah jiwa raga buat rakyat Melaka
Next post Tidak mengaku lakukan amang seksual terhadap anak
Ubah saiz-+=