KLIA, LIA dipilih antara lapangan terbang terbaik dunia pada 2021

Masa Membaca:2 Minit, 15 Saat

KUALA LUMPUR, 22 Mac – Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi (LIA) telah dipilih sebagai antara lapangan terbang terbaik dunia dalam kategori masing-masing bagi tahun 2021 dalam kaji selidik global Airport Service Quality (ASQ) yang dijalankan oleh Airports Council International (ACI).

KLIA dan LIA mencapai skor sempurna 5.00 dalam kategori masing-masing iaitu lapangan terbang yang memberi perkhidmatan kepada lebih 40 juta pelanggan setahun dan dua hingga lima juta pelanggan setahun, kata Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) dalam satu kenyataan hari ini.

ASQ menanda aras lapangan terbang terbaik dunia dari segi keseluruhan kepuasan penumpang terhadap keselamatan terminal, kemudahan, perkhidmatan dan kebersihan.

Penghargaan terbaharu oleh badan global itu akan memberi dorongan kepada MAHB untuk terus mengekalkan standard tinggi perkhidmatannya terutamanya dengan jangkaan peningkatan penumpang selepas sempadan Malaysia dibuka semula pada 1 April, 2022.

Kumpulan itu merekodkan sejumlah 4.66 juta penumpang pada Februari 2022, yang mana 2.54 juta penumpang atau 55 peratus disumbang oleh rangkaian lapangan terbang tempatannya dan 2.12 juta atau 45 peratus daripada asetnya di Turki, Lapangan Terbang Antarabangsa Istanbul Sabiha Gokcen (ISG).

Di Malaysia, pergerakan trafik penumpang domestik berjumlah 2.27 juta dan antarabangsa sebanyak 0.28 juta manakala ISG mencatatkan 1.09 juta penumpang domestik dan 1.03 juta penumpang antarabangsa.

Bagi operasi kargo, kumpulan itu merekodkan peningkatan jumlah tanan sebanyak 17.4 peratus bulan lepas yang mana kira-kira 86,768 tan metrik bagi operasi kargo di Malaysia dan juga di Turki, berbanding dengan tempoh yang sama tahun lepas.

Syarikat penerbangan kargo milik Malaysia, Kargo Xpress yang memulakan operasinya di KLIA pada Jun lepas telah memulakan laluan baharu Kuala Lumpur – Hong Kong selain mengendalikan dua penerbangan kargo tempatan ke Kuching dan Kota Kinabalu.

Ia kini menawarkan perkhidmatan penerbangan harian ke Hong Kong ekoran pertumbuhan permintaan terhadap kargo udara daripada sektor e-dagang, perkhidmatan pos, penghantaran dan industri yang memerlukan perkhidmatan logistik bernilai tinggi.

Sementara itu dalam makluman berasingan kepada Bursa Malaysia, MAHB berkata trafik dijangka pulih dengan stabil dalam tempoh beberapa bulan akan datang apabila lebih banyak negara membuka semula sempadan sejajar dengan kadar vaksinasi tinggi di rantau ini, dan peningkatan seterusnya dijangkakan bermula separuh kedua 2022.

Penutupan ruang udara Ukraine dan Rusia ekoran konflik antara kedua-dua negara itu ketika ini telah menganggu sementara penerbangan antara ISG Istanbul, Ukraine dan Rusia (Moscow dan St Petersburg).

Bagi Asia Pasifik, penutupan ruang udara itu telah menyebabkan syarikat penerbangan terpaksa mengubah semula laluan penerbangan ke Eropah, yang menyebabkan penambahan masa penerbangan dan peningkatan penggunaan bahan api dan kos.

Kumpulan itu sedang memantau perkembangan di Ukraine selain peningkatan harga bahan api pesawat dan akan terus menilai impaknya kepada trafik antarabangsanya.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1248
Kongsi :
Previous post Bilik pentadbiran IPD Sepang terbakar
Next post Agong berangkat ke Anugerah Sukan Negara
Ubah saiz-+=