Agong berangkat ke Anugerah Sukan Negara

Masa Membaca:59 Saat

KUALA LUMPUR, 22 Mac – Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah malam ini berkenan berangkat ke majlis Anugerah Sukan Negara (ASN) 2019/2020 di sini.

Turut hadir ke majlis gilang-gemilang di sebuah hotel itu, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, tokoh serta jaguh sukan tanah air turut hadir pada majlis tersebut.

Al-Sultan Abdullah dijadual berkenan mengurniakan anugerah kepada atlet yang melakar kecemerlangan di pentas antarabangsa sepanjang 2019/2020.

Sebanyak 10 kategori anugerah akan disampaikan malam ini termasuk Olahragawan dan Olahragawati Kebangsaan, Olahragawan Paralimpik Kebangsaan, Pasukan Lelaki dan Wanita Kebangsaan, Jurulatih Lelaki dan Wanita Kebangsaan, Anugerah Tokoh Sukan serta Anugerah Kepimpinan Sukan.

Tiada pencalonan bagi Olahragawati Paralimpik Kebangsaan pada ASN kali ini.

Jawatankuasa Pemilihan ASN menerima 68 pencalonan untuk 11 kategori daripada persatuan sukan kebangsaan, Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dan Majlis Paralimpik Malaysia (MPM).

Anugerah tahunan yang diperkenalkan sejak 1966 itu adalah pengiktirafan tertinggi kerajaan bagi menghargai kecemerlangan sepanjang tahun yang dicapai atlet, jurulatih, pegawai dan persatuan sukan kebangsaan, namun kali ini digabungkan bagi 2019 dan 2020 berikutan pandemik COVID-19.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1623
Kongsi :
Previous post KLIA, LIA dipilih antara lapangan terbang terbaik dunia pada 2021
Next post SOP ‘showcase’ ketat elak isu kompaun berulang
Ubah saiz-+=