SOP ‘showcase’ ketat elak isu kompaun berulang
KOTA LAKSAMANA 22 Mac – Pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang lebih ketat dikenakan sepanjang penganjuran ‘showcase’ Wings Raikan Cinta Ramadan pada 16 Mac ini.
Menurut Datuk Awie, ia bagi mengelakkan isu beliau dikenakan kompauan RM10,000 kerana melanggar SOP pada showcase yang sama tahun lalu berulang.
“Pihak Hotel LaCrista selaku penganjur akan ketatkan lagi, mungkin akan ada pihak keselamatan termasuk dari pihak saya juga untuk jaga ketenteraman sewaktu persembahan nanti.
“Kita tidak mahu isu berbangkit, kalau berlaku kali kedua, nama semua nama pihak akan terpalit sekali, jadi, SOP nanti pihak hotel akan tentukan nanti,” katanya.
Beliau berkata demikian sidang akhbar Wings Raikan Cinta Ramadan di LaCrista Hotel Melaka yang turut disertai Pengarah Urusan Hotel LaCrista Datuk Rosthman Ibrahim.
Menurut Awie, pihaknya memahami hasrat peminat yang mahu mengambil kesempatan mendekati atau bergambar dengan beliau atau anggota Wings lain namun perlu terlebih dahulu mematuhi SOP.
“Kalau kita nak bergambar nanti, kita akan fikirkan SOP yang lebih selamat daripada kebiasaan, jika semua sudi dan patuh SOP maka tidak timbul masalah.
“Walaupun kita bakal hadapi fasa endemik nanti dan kerajaan minta kita teruskan patuh SOP tetapi sebenarnya untuk jaga keselamatan rakyat,” ujarnya.
Bagaimanapun, kata Awie, penganjuran showcase Wings bukan acara konsert yang ‘ganas’ sebaliknya menampilkan 15 lagu Wings yang berunsur ketuhanan serta popular pada tahun 1987.
Antara lagu yang dipersembahkan selama satu jam setengah itu antaranya Dari Tuhan, Anugerah, Hukum Karma, Sejati dan Sayap Ilusi.
Showcase Wings Raikan Cinta Ramadan akan bermula di Hotel Holiday Villa, Johor Bharu pada 15 April dan kemudiannya bergerak ke Melaka di LaCrista Hotel keesokkan harinya.
Wings dijadual memulakan persembahan pukul 9.40 malam dan berakhir pukul 11.30 malam.
Harga mengikut pakej iaitu Silver Package Meja RM3,000, Kerusi RM400 (1 Meja 8 Orang), Gold Package Meja RM4,000, Kerusi RM530, VIP Package Meja RM5000 (kerusi RM780) manakala Super VVIP pada harga RM12,000 atau RM1,500 seorang.
Sementara itu menurut Datuk Rosthman, juadah berbuka sempena Ramadan tahun ini menampilkan kelainan menu yang berkonsepkan hidangan nusantara dari negara jiran Indonesia.
Kata beliau, pihaknya mengambil tukang masak khas dari negara tersebut bagi menyediakan menu masakan nasi Padang dan Sunda yang popular di negara tersebut.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.