Sorting by

×

KLINIK KESIHATAN 4 TINGKAT AKAN DIBINA DI DUYONG

Masa Membaca:1 Minit, 14 Saat

DUYONG 7 Jun – Warga Dewan Undangan Negeri (DUN) Duyong menerima khabar gembira apabila Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) meluluskan projek pembinaan Klinik Kesihatan Duyong.

Berita itu dikongsikan sendiri Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Duyong Datuk Mohd Noor Helmy Abdul halem yang memaklumkan, projek tersebut diluluskan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) dan dijangka menelan kos kira-kira RM50 juta.

Menurut beliau, mengikut perancangan, klinik kesihatan yang dibangunkan adalah Jenis 2, di mana ia dijangka bakal menjadi yang pertama setinggi empat tingkat dalam Negeri Melaka.

“Klinik Kesihatan Duyong akan dilaksanakan pembinaannya selepas peruntukan kerja awalan sebanyak RM500,000 diluluskan selewat-lewatnya pada 2027.

“Terima kasih kepada Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad, KKM dan semua yang membantu menjadikan Duyong sebuah kawasan kehidupan sempurna,” katanya dalam satu hantaran di Facebook rasmi beliau selepas mengiringi Menteri Kesihatan mengadakan lawatan ke tapak cadangan pembinaan Klinik Kesihatan Duyong, hari ini.

Turut bersama dalam lawatan itu, Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Datuk Ngwe Hee Sem; Ahli Parlimen Kota Melaka Khoo Poay Tiong; Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya Adam Adli Abdul Halim serta lain-lain kenamaan.

Sementara itu, Poay Tiong berkata, kelulusan itu sekali gus berupaya meningkat akses perkhidmatan kesihatan kepada rakyat, khususnya 59,327 penduduk yang merangkumi kawasan Duyong, Ujong Pasir, Semabok dan Alai.

Katanya, pembinaan klinik kesihatan baharu itu juga akan mengurangkan kesesakan di fasiliti sedia ada khususnya Klinik Kesihatan Ujong Pasir yang menerima jumlah pesakit yang tinggi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

460
Kongsi :
Previous post BOMBA MELAKA SELAMATKAN PENYU TERSANGKUT DALAM LONGKANG
Next post WRUR KESIDANG: MALIM UPTOWN JADI ‘PENTAS’ USAHAWAN KECIL BERSINAR