Sorting by

×

WRUR KESIDANG: MALIM UPTOWN JADI ‘PENTAS’ USAHAWAN KECIL BERSINAR

Masa Membaca:1 Minit, 33 Saat

KESIDANG 7 Jun – Golongan usahawan dan peniaga kecil menjadi antara golongan yang bakal menerima manfaat besar menerusi penganjuran Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kesidang.

Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri Allex Seah Shoo Chin berkata, ia apabila pelbagai inisiatif dirangka bagi membantu golongan tersebut meningkatkan pendapatan serta memperluaskan peluang perniagaan mereka.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kesidang berkata, antara pengisian utama yang dirangka adalah program keusahawanan yang akan dilaksanakan selama dua hari di Malim Uptown pada 13 dan 14 Jun ini.

Menurut beliau, program tersebut akan menghimpunkan pelbagai usahawan tempatan yang menjual produk makanan, minuman, kraftangan dan pelbagai barangan lain bagi merancakkan aktiviti ekonomi setempat.

“Melalui portfolio Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna, kita akan mengadakan program khas selama dua hari di Malim Uptown bagi memberi peluang kepada usahawan, peniaga dan penjaja kecil menambah pendapatan serta mempromosikan produk mereka.

“Lebih istimewa, kita juga akan menganjurkan tayangan skrin gergasi perlawanan Piala Dunia 2026 di kawasan itu bagi menarik kehadiran lebih ramai pengunjung, termasuk menyediakan pelbagai hadiah cabutan bertuah.

“Kita mahu memastikan peniaga kecil dan usahawan tempatan ini mendapat manfaat secara langsung daripada penganjuran WRUR,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Pembukaan Program WRUR DUN Kesidang Kota Melaka: Kampung Kita di Dewan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Bachang, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Allex berkata, program selama dua hari itu turut disertai pelbagai agensi di bawah portfolio keusahawanan yang akan menyediakan khidmat nasihat, pendedahan serta maklumat berkaitan bantuan dan pembangunan perniagaan.

Katanya, pengisian tersebut bertujuan membantu usahawan tempatan meningkatkan pengetahuan serta meneroka peluang baharu bagi mengembangkan lagi perniagaan mereka.

“Selain aktiviti jualan, kita turut menyediakan pelbagai program dan pengisian daripada agensi berkaitan bagi membantu usahawan memahami peluang yang tersedia untuk mengembangkan perniagaan masing-masing,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

499
Kongsi :
Previous post KLINIK KESIHATAN 4 TINGKAT AKAN DIBINA DI DUYONG
Next post MELAKA BAKAL TERIMA SUNTIKAN RM1.8 BILION PERKASA INFRASTRUKTUR KESIHATAN