Sorting by

×

MELAKA BAKAL TERIMA SUNTIKAN RM1.8 BILION PERKASA INFRASTRUKTUR KESIHATAN

Masa Membaca:1 Minit, 45 Saat

PENGKALAN BATU 7 Jun – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) merancang pembangunan pelbagai infrastruktur kesihatan bernilai lebih RM1.8 bilion di Melaka menerusi Rolling Plan Kedua (RP2) Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK 13).

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, antara pembangunan yang dirancang adalah pembinaan Hospital Berpakar Jenis 2 membabitkan keluasan seluas 59.8 ekar di kawasan Hang Tuah Jaya yang melibatkan anggaran kos sebanyak RM875 juta.

Selain itu, jelas beliau, peruntukan itu turut merangkumi pembinaan tiga klinik kesihatan baharu Jenis 2 termasuk Kompleks Kesihatan Bersepadu Daerah.

“Antara perancangan KKM adalah meroboh dan membina semula Klinik Kesihatan Jasin (Jenis 2) dan Kompleks Kesihatan Bersepadu Daerah Jasin dengan anggaran kos sebanyak RM126.99 juta, di mana ia turut meliputi pembinaan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Jasin yang baharu.

“Manakala bagi Klinik Kesihatan Bukit Katil pula KKM memohon kelulusan Butiran Kerja Awalan dengan anggaran kos projek bernilai RM50 juta selain bakal menjadi Pusat Rujukan Kesihatan serba lengkap (One Stop Centre) bagi menampung kepadatan lebih 80,243 penduduk menjelang 2030,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan Lawatan Kerja Ke Hospital Melaka, di sini, hari ini, yang turut dihadiri Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Datuk Ngwe Hee Sem serta lain-lain kenamaan.

Dr. Dzulkefly berkata, bagi perancangan pembinaan Klinik Kesihatan Duyong pula, KKM akan memohon kelulusan Butiran Kerja Awalan di bawah RMK 13 dengan anggaran kos projek bernilai RM50 juta.

“Cadangan pembinaan ini bagi menampung operasi KK Ujong Pasir yang sedang berdepan cabaran kekangan ruang yang amat kritikal.

“Usaha dilakukan KKM ini menunjukkan komitmen penuh Kerajaan Perpaduan dalam memastikan ekosistem kesihatan di Melaka khususnya lebih berdaya saing,” katanya.

Jelasnya, menerusi lawatan kerja selama tiga hari di Melaka juga, sejumlah RM6 juta peruntukan khas diluluskan bagi menyelesaikan isu baik pulih serta naik taraf fasiliti kesihatan.

“Saya bersetuju meluluskan peruntukan khas berjumlah RM6 juta yang telah dikemukakan semasa lawatan ini, di mana peruntukan tambahan ini bertujuan menyelesaikan isu baik pulih dan naik taraf fasiliti.

“Ia turut merangkumi keperluan segera perolehan aset perubatan dan bukan perubatan di enam buah fasiliti yang dilawati sepanjang lawatan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

560
Kongsi :
Previous post WRUR KESIDANG: MALIM UPTOWN JADI ‘PENTAS’ USAHAWAN KECIL BERSINAR
Next post MPHTJ TAWAR DISKAUN KOMPAUN SEHINGGA 80 PERATUS SEMPENA WRUR DUN KESIDANG