Klinik kesihatan diminta bersiap sedia hadapi kes strok haba

Masa Membaca:1 Minit, 6 Saat

SUNGAI RAMBAI 30 April – Petugas di semua klinik kesihatan di negeri ini diminta supaya bersiap sedia bagi menghadapi kes membabitkan strok haba.

Timbalan Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri, Siti Faizah Abd Azis berkata, persediaan awal perlu berikutan fenomena cuaca panas melanda ketika ini.

“Persediaan ini bukan sahaja petugas klinik kesihatan kerajaan tetapi juga swasta kerana kita sedia maklum keadaan cuaca ketika ini tidak menentu.

“Sekiranya ada sebarang pemasalahan ataupun aduan dalam kalangan masyarakat setempat (membabitkan serangan strok haba) kita lebih bersedia (memberikan rawatan),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Rumah Terbuka Aidilfitri Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Rambai, di perkarangan Japerun Sungai Rambai, di sini, malam tadi.

Siti Faizah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Rambai berkata, Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Melaka akan mengadakan taklimat berkaitan strok haba pada Selasa.

“Pada taklimat itu nanti beberapa perkembangan atau garis panduan akan dimaklumkan bagi tindakan lanjut.

“Saya difahamkan juga sehingga kini (di Negeri Melaka) tiada lagi yang terkesan oleh itu saya mengingatkan orang ramai untuk mengambil langkah berjaga-jaga termasuk mengurangkan aktiviti luar,” katanya.

Rumah terbuka itu dihadiri kira-kira 7,000 tetamu selain Yang di-Pertua Negeri, Tun Seri Setia Mohd Ali Mohd Rustam dan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh turut hadir memeriahkan majlis.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1103
Kongsi :
Previous post Galak pakai pelitup muka di lokasi tumpuan – Exco
Next post Rumah terbuka Sungai Rambai meriah meskipun hujan
Ubah saiz-+=