Rumah terbuka Sungai Rambai meriah meskipun hujan

Masa Membaca:1 Minit, 10 Saat

SUNGAI RAMBAI 30 April – Hujan tidak menghalang kira-kira 7,000 warga Sungai Rambai meluangkan masa untuk hadir memeriahkan Rumah Terbuka Aidilfitri Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Rambai, malam tadi.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Rambai Siti Faizah Abd Azis berkata, apa yang menarik tetamu yang hadir turut membabitkan mereka bukan beragama Islam, sekali gus menunjukkan keakraban silaturahim.

“Jika dibandingkan sambutan tahun lalu dan kali ini tidak banyak beza, tetap meriah dengan orang ramai pelbagai kaum hadir untuk menjamu selera.

“Kita dapat lihat keharmonian antara masyarakat di DUN Sungai Rambai menerusi penganjuran rumah terbuka ini,” katanya ketika ditemui pada majlis itu yang diadakan di Japerun Sungai Rambai.

Majlis rumah terbuka itu turut diserikan dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri, Tun Seri Setia Mohd Ali Mohd Rustam dan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Bersama-sama meluangkan masa adalah barisan Exco Kerajaan Negeri Melaka antaranya Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan Ngwe Hee Sem; Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama, Datuk Rahmad Mariman serta Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti Datuk Kalsom Nordin.

Sementara itu, Siti Faizah berkata, sambutan rumah terbuka kali ini juga terdapat kelainan apabila menjadi ‘medan’ menghimpunkan kesemua 11 sidang DUN itu.

“Untuk tahun ini kita mengetengahkan sidang-sidang yang ada di Sungai Rambai untuk masyarakat lebih mengenali selain beberapa badan bukan kerajaan (NGO) yang ada,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

953
Kongsi :
Previous post Klinik kesihatan diminta bersiap sedia hadapi kes strok haba
Next post Berbaju raya tebar 2,000 roti canai
Ubah saiz-+=