Berbaju raya tebar 2,000 roti canai

Masa Membaca:1 Minit, 8 Saat

AYER KEROH 30 April – Meskipun berkebaya, seorang wanita dilihat tidak kekok menebar roti canai pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Kerajaan Megeri Melaka di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, semalam.

Nurul Syafiqah Ali, 25, berkata, dia sudah terbiasa menebar roti sejak membuka kedai makan di Taman Rambai Jaya, Bukit Rambai.

Dia berkata, teknik tebaran roti canai itu dipelajari daripada arwah suaminya pada 2016 dan ia menjadi sumber rezeki buatnya bersama dua anak hingga ke hari ini.

“Apabila suami meninggal dunia, detik itulah membuatkan saya nekad meneruskan kehidupan dengan membuka kedai makan sendiri.

“Pada awalnya kami hanya berniaga di tepi jalan sahaja, dan selepas mendapat rezeki lebih, saya akhirnya dapat mengusaha sebuah kedai makan yang menjadi sumber pendapatan untuk saya sekeluarga,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Menurut Nurul Syafiqah, untuk Rumah Terbuka Aidilfitri Kerajaan Negeri Melaka, dia dan pasukannya telah bersedia seawal jam 7 pagi lagi.

Ia bagi mempersiapkan segala bahan yang diperlukan termasuklah kuah istimewa asam pedas tetel yang bakal dihidangkan kepada tetamu.

“Memang agak penat, tetapi kami seronok melihat pengunjung yang tidak putus-putus beratur bagi merasai keenakan ‘Roti Canai Hari Ini’ yang dibawakan oleh Melaka Hari Ini pada majlis ini,” ujarnya.

Sementara itu, ditanya mengenai rahsia kesedapan roti canai, Nurul Syafiqah berkata, semuanya bergantung kepada teknik tebaran bagi menghasilkan roti canai yang lembut dan enak.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1461
Kongsi :
Previous post Rumah terbuka Sungai Rambai meriah meskipun hujan
Next post Tak sampai tiga jam, lapan ekor kambing sudah digolek
Ubah saiz-+=