Kluster di pusat beli belah cetus 145 kes

Masa Membaca:1 Minit, 22 Saat

AYER KEROH 21 Julai – Pusat beli belah yang terletak di Taman Lagenda menjadi lokaliti tercetusnya Kluster Satu Lagenda hingga menjangkiti seramai 145 orang setakat ini.

Exco Kesihatan, Datuk Rahmad Mariman berkata kluster itu bagaimanapun berada dalam keadaan terkawal dan pusat beli belah terbabit sudah mula beroperasi hari ini.

Katanya susulan peningkatan kes dalam kluster berkenaan minggu lalu, Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Melaka Tengah menjalankan ujian saringan menyeluruh kepada semua pekerja serta menyah kuman di bangunan berkenaan pada 9 Julai.

“PKD turut mengarahkan semua pekerja di pusat membeli-belah berkenaan menjalani kuarantin wajib.

“Jangkitan dipercayai telah merebak dalam kalangan kontak rapat di rumah dan seterusnya di tempat kerja iaitu rakan sosial, itu adalah setakat laporan pada minggu lepas.

“Setakat ini, jumlah kumulatif bagi kluster terbabit sebanyak 145 kes termasuk sembilan kes baharu direkodkan semalam,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini (MHI) sempena Sehari Bersama Datuk Rahmad Mariman di Japerun Ayer Molek, di sini hari ini.

Rahmad (depan) membawa kit makanan untuk diserahkan kepada penerima di Solok Bakar Batu, Kampung Kandang, Melaka. Foto: MR. Azli

Mengulas lanjut, Rahmad yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Antidadah negeri berkata, kes indeks bagi kluster berkenaan bagaimanapun masih dalam belum dapat dikenal pasti.

“Kebiasaannya, kes indeks antara dua sahaja sama ada dalam kalangan pekerja yang membawa jangkitan daripada kontak keluarga atau menerusi rakan sosial.

“Agak jarang kes indeks berlaku daripada kehadiran orang ramai, mesti ada kes dalam pusat beli-belah berkenaan sama ada peniaga atau pekerja yang bawa kes ke tempat tersebut dan akhirnya berlaku jangkitan rakan sekerja,” katanya.

 

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

417
Kongsi :
Previous post Premis langgar SOP, 34 kompaun dikeluarkan, 21 ditutup
Next post AEON Bandaraya Melaka kembali beroperasi
Ubah saiz-+=