Premis langgar SOP, 34 kompaun dikeluarkan, 21 ditutup

Masa Membaca:1 Minit, 28 Saat

AYER KEROH 21 Julai – Polis Melaka mengeluarkan 34 kompaun keseluruhannya bernilai RM313,000 dalam Op Patuh sejak 25 Jun hingga semalam.

Kompan itu dikeluarkan terhadap pelbagai premis membabitkan kilang dan asrama dalam operasi bersepadu yang turut dibantu oleh beberapa agensi penguatkuasaan.

Antara agensi terlibat termasuk Majlis Keselamatan Negara (MKN), Jabatan Kesihatan Negeri (JKN), Jabatan Tenaga Kerja (JTK) negeri, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT).

Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPKK) Melaka, Asisten Komisioner Mohd Hedzir Hussin berkata, pihaknya menjalankan pemeriksaan terhadap 6,364 premis di tiga daerah negeri ini sepanjang tempoh itu.

Katanya, daripada jumlah itu, 4,961 premis perniagaan diperiksa, manakala 893 lagi melibatkan kilang serta 283 asrama pekerja dan selebihnya membabitkan pemeriksaan di tapak pembinaan.

“Hasil operasi berkenaan, pasukan penguatkuasa mengeluarkan 34 kompaun dengan nilai keseluruhannya berjumlah RM313,000 kerana didapati melanggar prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan,” katanya ketika dihubungi Melaka Hari Ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata 10 daripada jumlah kompaun itu dikeluarkan terhadap premis yang beroperasi tanpa kebenaran Kementerian Perdagangan Antarabangsa (MITI).

“Sembilan lagi kompaun dikeluarkan atas kesalahan membenarkan pekerja melebihi kapasiti 60 peratus manakala dua lagi masing-masing atas kesalahan menyalah guna surat MITI dan gagal menyediakan protokol kesihatan seperti alat pengimbas suhu.

“Manakala 11 lagi membabitkan pelbagai kesalahan lain seperti menjual barang bukan keperluan, pekerja gagal mengimbas aplikasi MySejahtera dan kegagalan majikan menyediakan tempat tinggal mengikut SOP,” katanya

Mohd Hedzir berkata, dalam operasi berkenaan, polis turut mengambil tindakan menutup operasi 21 premis kerana gagal mematuhi SOP ditetapkan.

Jelasnya, perintah penutupan premis akan dilakukan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan notis penutupan ditampal di premis masing-masing.

“Tempoh masa penutupan premis berbeza-beza mengikut kesalahan dan ianya ditentukan oleh KKM,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

381
Kongsi :
Previous post MUFC sedia ‘gegau’ Pahang
Next post Kluster di pusat beli belah cetus 145 kes
Ubah saiz-+=