MUFC sedia ‘gegau’ Pahang

Masa Membaca:1 Minit, 28 Saat

KELAB Bolasepak Melaka United (MUFC) kini sudah bersedia untuk menghadapi Sri Pahang FC dalam aksi sambungan Liga Super pada Ahad (25 Julai) ini.

Pengurus pasukan, Muhammad Akram Abdullah berkata, hasil dua kem latihan berpusat (base-camp training) dan perlawanan persahabatan yang dianjurkan sebelum ini memperlihatkan skuad Hang Tuah memberi isyarat cukup positif untuk menghadapi lawan mereka.

Katanya lagi, dengan kemasukan dua penyerang baharu dari Brazil juga telah sedikit sebanyak mengubah jentera serangan pasukan untuk merobek kubu gawang pihak lawan.

“Seluruh pemain telah membuktikan kesungguhan dan keyakinan tinggi bagi mengharungi perlawanan sebenar liga tidak lama lagi.

“Saya yakin dengan apa yang ditunjukan dalam kem latihan dan perlawanan persahabatan menentang Selangor FC baru-baru ini menjadi bukti dan isyarat jelas yang pemain sememangnya sudah bersedia,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

GANDINGAN dua penyerang import baharu, Adriano (kiri) dan Gomes (kanan) ditagih MUFC dalam aksi menentang Sri Pahang FC di Stadium Darul Makmur, 25 Julai ini. (FOTO: Ihsan MUFC)

Tambah Muhammad Akram, walaupun tidak mampu menjanjikan bulan dan bintang, namun beliau optimis penyokong MUFC yang dianggap ‘pemain ke-12’ akan melihat satu perubahan besar dalam aksi permainan pasukan.

“Para penyokong Melaka khususnya akan merasakan satu perubahan dari para pemain terutamanya di bahagian serangan. Itu yang boleh saya janjikan.

“Apapun, kita berharap doa dan sokongan dari para penyokong Melaka United dapat memberi dorongan dan semangat kepada pasukan untuk meraih kemenangan di Stadium Darul Makmur nanti. Insya-Allah,” katanya.

Untuk rekod, dalam aksi persahabatan menentang Selangor FC di Stadium Hang Jebat baru-baru ini, MUFC meraih kemenangan 3-2.

Penyerang import baharu, Giovane Gomes da Silva mencetuskan sensasi dengan menjaringkan dua gol dan satu lagi gol disumbangkan Sony Norde.

 

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

340
Kongsi :
Previous post Koperasi masjid agih 1,000 pek daging korban
Next post Premis langgar SOP, 34 kompaun dikeluarkan, 21 ditutup
Ubah saiz-+=