Koperasi masjid agih 1,000 pek daging korban

Masa Membaca:1 Minit, 14 Saat

AYER KEROH 21 Julai – Sebanyak 1,000 pek daging korban diagihkan Koperasi Kariah Masjid Al-Alami Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) bersempena Aidiladha tahun ini.

Pengagihan satu kilogram daging setiap pek itu diadakan secara pandu lalu bertempat di perkarangan tapak parkir masjid berkenaan yang disampaikan oleh Ketua UMNO Bahagian Hang Tuah Jaya, Mohd Ridhwan Mohd Ali.

Mohd Ridhwan berkata, untuk tahun ini, sebanyak 31 ekor lembu telah dikorbankan membabitkan seramai 217 orang peserta.

Jumlah itu, ujarnya meningkat hampir sekali ganda berbanding hanya 18 ekor yang ditumbangkan pada Aidiladha tahun lalu.

“Proses sembelihan akan dibuat selama empat hari sehingga Jumaat ini (Hari Tasyrik – 23 Julai) yang telah dilakukan di beberapa lokasi seperti pusat penyembelihan ladang lembu, Pusat Sembelihan wasta Sungai Putat, masjid dan surau yang telah mendapat kelulusan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Negeri Melaka.

“Pengagihan daging korban pula dilakukan mengikut SOP ditetapkan iaitu selain pandu lalu, kita juga bekerjasama dengan pihak masjid, surau serta NGO,” katanya kepada Melaka Hari Ini dalam majlis berkenaan.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pengagihan daging korban itu bukan sahaja melibatkan penduduk dan kariah masjid dan surau di sekitar Ayer Keroh, bahkan ia turut diperluaskan kepada pihak lain.

Ini termasuk tiga buah penjara iaitu Penjara Sungai Udang, Penjara Telok Mas dan Penjara Dusun Dato Murad.

“Selain itu, daging korban itu juga diagihkan kepada Pusat Maahad Tahfiz Duyong, Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) dan petugas barisan hadapan seperti polis, petugas kesihatan dan bomba,” katanya lagi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

815
Kongsi :
Previous post Hanya 90 minit sembelih 25 ekor lembu
Next post MUFC sedia ‘gegau’ Pahang
Ubah saiz-+=