Hanya 90 minit sembelih 25 ekor lembu

0
854
Petugas mengasingkan tulang lembu untuk dicencang di Masjid al-Ehsan, Kampung Londang, Masjid Tanah.

TANJUNG BIDARA 21 Julai – Hanya satu jam 30 minit diperlukan untuk menyembelih 25 ekor lembu korban anjuran Masjid al-Ehsan, Kampung Londang di sini.

Selain cepat, usaha itu juga mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM).

Caranya, kesemua haiwan berkenaan dibahagikan kepada lima ekor satu kumpulan dan disembelih secara serentak di lima lokasi penyembelihan berasingan dipilih pengurusan masjid itu, mulai jam 6.30 pagi tadi.

Pengerusinya, Datuk Abdul Mutalif Che Mat berkata, berdasarkan SOP berkenaan, hanya lima lembu dibenarkan disembelih pada satu satu masa dan bagi mengelakkan kesesakan, jumlah petugas di tempat penyembelihan dihadkan hanya kepada lima orang.

ABDUL Mutalif Che Mat.

“Pihak masjid menswastakan kegiatan penyembelihan itu kepada penternak lembu yang mampu melaksanakan kerja menyembelih dan memotong ‘repang’ atau rata haiwan itu dengan pantas sebelum dibawa ke masjid.

“Hanya 24 petugas dibenarkan mengendalikan aktiviti melapah daging dan mencencang tulang haiwan korban di perkarangan masjid,” katanya ketika ditemui di masjid itu hari ini.

Beliau berkata, pematuhan SOP yang ketat amat penting bagi mengelakkan pengurusan masjid dikompaun, selain membantu usaha memutuskan rantaian pandemik COVID-19.

Petugas menghantar daging ke Masjid al-Ehsan, Kampung Londang, Masjid Tanah.

Pemilihan lima lokasi penyembelihan itu juga katanya mampu memendekkan tempoh yang diambil bagi menyembelih 11 lembu korban secara berkelompok dan baki 14 lembu korban individu.

“Kaedah penswastaan memastikan semua lembu korban berjaya disiapkan dalam tempoh singkat dan kami amat mementingkan tidak terlalu ramai orang berada di tempat penyembelihan,” katanya.

Daging berkenaan diedarkan secara pandu lalu di perkarangan masjid itu mulai 12.30 tengah hari hingga 4 petang ini, katanya.

 

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.