Raih RM3,000 sebulan jual ‘cendawan kolong’

Masa Membaca:1 Minit, 51 Saat

PANTAI KUNDOR 21 Julai – Hilang sumber pendapatan sebagai penganjur acara tidak melemahkan semangat Farid Imran, 51, untuk mencuba sektor penghasilan cendawan tiram kelabu.

Dengan semangat perjuangan yang kental tanpa pengalaman, dia menceburi sektor berkenaan berbekalkan ruang bawah rumah atau kolong sebagai medan untuk menghasilkan produk pertanian itu sejak April lalu.

“Saya mencari apa bidang yang boleh menjana pendapatan tanpa perlu bergerak jauh dari rumah sebelum mendapat idea untuk menghasilkan cendawan kolong.

“Berbekalkan modal kira-kira RM6,000 untuk mendapatkan besi ‘T Section’ yang tahan karat, saya menjadikannya rak dan mula mendapatkan bongkah cendawan berharga RM2.50 seunit,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Tanah Merah Jaya, Tanjung Kling dekat sini hari ini.

Sebanyak 4,000 bongkah cendawan tiram kelabu mampu menghasilkan pendapatan antara RM2,000 hingga RM3,000 sebulan.

 

Bapa kepada enam anak berusia antara 14 hingga 26 tahun itu berkata, sebagai permulaan, dia mendapatkan 1,000 bongkah daripada pembekal dan menambahnya dari semasa ke semasa sebelum mencapai jumlah maksimum 4,000 bongkah sekarang.

Menurutnya, bongkah yang sudah matang mampu menghasilkan cendawan pada usia antara 45 hingga 60 hari tetapi memerlukan suhu yang tidak terlalu rendah dan terlalu tinggi.

Dengan kapasiti pengeluaran harian antara 10 hingga 15 kilogram (kg), Farid memasarkan cendawan seberat 170 gram pada harga RM3 manakala yang 500 gram (RM7) dan sekilogram (antara RM12 hingga RM15).

“Dengan perolehan bulanan antara RM2,000 hingga RM3,000, saya bersyukur dengan rezeki Allah dan dapatlah juga meneruskan kehidupan akibat kehilangan sumber pendapatan berikutan situasi COVID-19,” katanya.

NOR Azman membelek cendawan tiram kelabu yang dijenamakan sebagai ‘cendawan kolong’ di kediaman Farid di Kampung anah Merah Jaya, Tanjung Kling.
– Foto DIN AHMAD

Terdahulu, perusahaan Farid menerima kunjungan Ahli Dewan Undangan Negeri
(ADUN) Pantai Kundor, Datuk Nor Azman Hassan.

Nor Azman berkata, beliau menyanjung komitmen Farid untuk tidak berserah semata-mata kepada nasib berikutan kesukaran yang terpaksa ditempuhi.

“Saya kagum dengan semangat juangnya dan bersedia memberikan bantuan jika diperlukan bagi memastikan sektor penghasilan cendawan tidak terhenti di tengah jalan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menyeru lebih ramai anggota komuniti mencontohi komitmen Farid menjana pendapatan melalui usaha dan ikhtiar sendiri tanpa perlu bergantung kepada bantuan kerajaan.

Views:

2011
Kongsi :
Previous post Keluarga dikuarantin posifif COVID, warga emas meninggal dunia di rumah
Next post Hanya 90 minit sembelih 25 ekor lembu
Ubah saiz-+=