Kluster Industri Serkam mampu cecah lebih 1,000 kes

Masa Membaca:1 Minit, 4 Saat

AYER KEROH 7 Feb. – Kluster Industri Serkam yang membabitkan pekerja sebuah kilang pemprosesan ayam di Jasin terus meningkat apabila merekodkan sebanyak 275 kes positif COVID-19, hari ini.

Pertambahan itu sekali gus menyaksikan jumlah kumulatif kes berkenaan melonjak kepada 866 kes keseluruhan, termasuk tiga yang berdaftar di luar Melaka.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Anti Dadah negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata, melihat kepada graf peningkatan itu, pihaknya tidak menolak kemungkinan kluster berkenaan mampu mencecah 1,000 kes, sekali gus menjadi kluster pertama mencecah empat angka di negeri ini.

“Sebanyak 275 kes positif COVID-19 membabitkan Kluster Industri Serkam hari ini sekali gus menjadikan kes keseluruhan sebanyak 866 kes.

“Ya, ada kemungkinan juga ia akan terus meningkat dan menjadi kluster pertama di negeri ini yang mencecah angka 1,000,” katanya ketika dihubungi Melaka Hari Ini.

Selain Kluster Industri Serkam, Rahmad berkata, 313 kes di Melaka pada hari ini turut disumbangkan Kluster Tembok Sungai Udang dan Kluster Bukit Palah yang masing-masing merekodkan 18 dan satu kes.

“Selain itu, lain-lain jangkitan membabitkan saringan kontak rapat kes positif, saringan bergejala, saringan ‘Pre Op/Admission’, saringan dari kawasan berisiko, saringan kendiri dan saringan kerja.

“Sehingga kini, 1,514 pesakit masih dirawat dengan 11 daripadanya berada di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan lapan memerlukan alat bantuan pernafasan,” katanya.

-HABIS-

Views:

371
Kongsi :
Previous post Penyelidik UMT inovasikan roti lebah sebagai bahan utama bar tenaga
Next post Bekas juara tinju heavyweight dunia, Leon Spinks meninggal dunia akibat kanser
Ubah saiz-+=