Kluster pendidikan di Melaka dijangka meningkat – Pengarah JKN

Masa Membaca:1 Minit, 23 Saat

MALIM 26 Jan – Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Melaka menjangkakan kes penularan COVID-19 membabitkan kluster pendidikan di negeri akan meningkat secara mendadak.

Pengarah Dr. Rusdi Abd Rahman berkata, peningkatan kes itu dijangka membabitkan penempatan pelajar sekolah berasrama berikutan empat kluster pendidikan di negeri ini menunjukkan peningkatan dan masih aktif.

Jelasnya, kluster dikesan adalah Kluster Jalan Kemendor yang membabitkan Kolej Vokasional (KV) Datuk Seri Abu Zahar Isnin dan Kluster Jalan Tun Telani membabitkan pelajar Kolej Vokasional Melaka Tengah.

Menurutnya dua lagi kluster adalah, Kluster Hang Tuah Jaya membabitkan Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) dan Kluster Jalan Pengkalan Batu membabitkan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Sultan Muhammad.

“Setakat ini trend peningkatan membimbangkan dengan merekodkan 261 kes positif daripada empat kluster ini. Hanya satu kes varian Omicron juga dikesan daripada kolej vokasional terlibat.

“Mengikut pecahan, kluster di KV Datuk Seri Abu Zahar Isnin merekodkan seramai 39 pelajar positif setakat ini diikuti 135 pelajar di KV Melaka Tengah, 58 kes di UTeM dan 29 pelajar di SMKA Sultan Muhammad,” katanya.

Rusdi berkata, demikian pada sidang media selepas mengadakan Operasi Tahun Baru Cina di sebuah pasar raya di sini,  semalam.

Mengulas lanjut, beliau berkata, sebuah lagi sekolah di negeri ini dikesan mempunyai jangkitan COVID-19 yang masih aktif bagaimanapun belum diisyhtiharkan sebagai kluster pendidikan baharu.

“Bagi saya situasi ini membimbangkan terutama apabila membabitkan pelajar asrama dan tidak hairan sekiranya sekolah lain yang berasrama akan mencetuskan kluster baharu jika kita tidak berhati-hati.

“Kita lihat memang ada peningkatan jelas jadi kita mohon kepada semua pihak termasuk guru dan pihak sekolah perlu mengetatkan prosedur operasi standard (SOP) bagi mengekang penularan ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

913
Kongsi :
Previous post Usah bimbang, ASF hanya serang babi komersial bukan babi hutan – EXCO
Next post Ayam kampung naik harga
Ubah saiz-+=