Ayam kampung naik harga

Masa Membaca:1 Minit, 42 Saat

AYER LIMAU 26 Jan – Ayam kampung sebelum ini dijual pada harga RM15 satu kilogram (kg) naik antara RM16 hingga RM17 satu kg sejak hujung bulan lalu.

Penternak mendakwa, perkara itu tidak dapat dielakkan kerana berlaku kenaikan ketara makanan ayam seperti dedak dan jagung sejak 2018.

Zulkifli Mat Dali, mendakwa harga terkini seguni dedak seberat 50kg naik kepada RM130 berbanding empat tahun lalu yang cuma RM100.

“Ketika itu harga makanan ayam dan itik tidaklah tinggi macam sekarang. Kenaikan harga ternakan itu antara 30 sen hingga 50 sen saja.

“Mahu atau tidak saya terpaksa jual ayam kampung pada harga RM16 satu kg,” katanya ketika ditemui di Kampung Telok Berembang, Lubok Cina dekat sini, hari ini.

Zulkifli memotong ayam kampung di Kampung Telok
Berembang, Lubok Cina dekat Masjid Tanah.

Katanya, harga jagung pula meningkat kepada RM1.70 satu kg berbanding RM1.10 tiga tahun lalu, sekali gus menyebabkan tekanan kepada penternak sepertinya.

Dia berkata, meskipun berlaku kenaikan, permintaan terhadap ternakan itu tetap sama kerana pelanggan memahami beban kos makanan terpaksa ditanggung penternak.

Sementara itu penternak di Kampung Pasir Gembor, Tanjung Bidara, Mohd Farid Baharom juga terpaksa menaikkan harga ternakannya kepada RM17 satu kg berikutan kos makanan meningkat.

“Harga makanan ayam menggunakan campuran seperti gandum dan jagung naik sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 pada Mac 2020.

“Harga seguni makanan ayam 50 kg sebelum Mac 2020 adalah RM100. Harga meningkat antara RM2 hingga RM3 sejak PKP 1.0 hinggalah sekarang mencecah RM135.

“Saya memperuntukkan 100 kg makanan ayam sehari untuk 1,000 ekor ternakan. Dengan kos RM270 sehari saya terpaksa membelanjakan RM8,100 sebulan,” katanya.

Mohd Farid berkata, kos ditanggung sekarang jauh lebih tinggi berbanding hanya RM6,100 sebulan sebelum PKP 1.0.

Pemilik syarikat Rezeki Toyyiba Enterperise itu berkata, pengeluaran anak ayam kampung juga menurun berikutan kurang permintaan daripada penternak.

“Pandemik COVID-19 menyebabkan ramai penternak ayam kampung gulung tikar manakala penternak baharu tidak berani mengembangkan perusahaan mereka kerana bimbang mengalami kerugian,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

7694
Kongsi :
Previous post Kluster pendidikan di Melaka dijangka meningkat – Pengarah JKN
Next post 118 peserta beraksi pada Pulau Besar New Year Challenge 2022, Sabtu ini
Ubah saiz-+=