Kluster pendidikan membimbangkan, JKN Melaka cadang sekolah ditutup

Masa Membaca:53 Saat

AYER KEROH 31 Jan- Susulan peningkatan jangkitan COVID-19 membabitkan kluster pendidikan, Jabatan Kesihatan Negeri Melaka (JKNM) mencadangkan sesi persekolahan secara fizikal ditutup.

Pengarah Kesihatan negeri, Dr Rusdi Abd Rahman berkata jika situasi jangkitan sukar dikawal, JKNM melihat ada keperluan menutup sekolah memandangkan pertambahan kluster pendidikan.

Katanya, JKNM turut akan mencadangkan kepada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) untuk mendapatkan kaedah lain bagi mengawal penularan jangkitan selain menguatkuasakan prosedur operasi standard (SOP) sedia ada.

“Ada keperluan menutup sekolah jika kes positif terus melonjak dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) perlu ada pelan tindakan khusus untuk perkara ini.

“Bagaimanapun, keputusan menutup sekolah adalah diperingkat Kementerian Pendidikan dan kita hanya mencadangkan berdasarkan penelitian fakta yang diperolehi daripada semua pihak berkaitan,” katanya ketika dihubungi.

Tambah Rusdi, cadangan penutupan sekolah itu juga susulan 671 guru dan pelajar positif COVID-19 daripada sembilan kluster termasuk dua kluster baharu.

Terdahulu, Melaka Hari Ini melaporkan dua lagi kluster pendidikan dikesan di Jasin dan diarahkan ditutup selama dua minggu masing-masing pada 24 dan 27 Jan lalu.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1462
Kongsi :
Previous post Jurupendawaian mengaku tidak bersalah, cederakan pemandu e-hailing
Next post Malaysia pada landasan tepat pulih ekonomi, PM ajak rakyat sokong usaha kerajaan
Ubah saiz-+=