Sorting by

×

Malaysia pada landasan tepat pulih ekonomi, PM ajak rakyat sokong usaha kerajaan

Masa Membaca:1 Minit, 46 Saat

KUALA LUMPUR, 31 Jan – Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berharap sempena sambutan Tahun Harimau tahun ini, segala usaha kerajaan untuk memastikan kestabilan ekonomi serta kesejahteraan rakyat dapat dipertingkatkan sehingga ke tahun-tahun seterusnya.

Beliau juga mengajak semua untuk terus bersatu hati menyokong usaha kerajaan dalam memulih dan menstrukturkan semula ekonomi negara bagi menjadikan Malaysia sebuah negara maju sepenuhnya.

Katanya ekonomi Malaysia berada pada landasan yang tepat ke arah pemulihan berdasarkan pembukaan semula lebih daripada 90 sektor ekonomi dan kebanyakan aktiviti sosial, selain disokong oleh kadar vaksinasi yang tinggi dengan hampir keseluruhan populasi telah divaksinasi.

“Dengan momentum pemulihan, Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) berada pada landasan yang kukuh untuk terus berkembang antara 5.5 peratus dan 6.5 peratus pada 2022. Ia selari dengan unjuran oleh IMF (Tabung Kewangan Antarabangsa) pada 6.0 peratus dan Bank Dunia pada 5.8 peratus.

“Pertumbuhan ini akan dipacu terutamanya oleh Bajet 2022 yang mengembang bernilai RM332.1 bilion, normalisasi dalam aktiviti ekonomi dan sosial,” katanya dalam kenyataan sempena sambutan Tahun Baharu Cina 2022 hari ini.

Selain itu Perdana Menteri berkata penyambungan semula projek dengan kesan pengganda tinggi dan permintaan luar yang kukuh terutamanya daripada rakan dagang utama turut meningkatkan pertumbuhan ekonomi.

“Semua ini sejajar dengan hasrat kerajaan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 untuk mencapai negara berpendapatan tinggi menjelang tahun 2025 melalui pelbagai inisiatif yang digariskan,” katanya.

Sambil mengucapkan Selamat Tahun Baharu Cina, beliau berharap peluang menyambut perayaan itu bersama ibu bapa dan keluarga tercinta pada tahun ini selepas dua tahun terpaksa menyambut dari kejauhan dan terpisah dengan keluarga, dapat mengerat serta mengukuhkan lagi hubungan kekeluargaan.

Namun dalam kemeriahan menyambut Tahun Baharu Cina, Ismail Sabri mengingatkan supaya prosedur operasi standard (SOP) terus dipatuhi dalam membendung penularan wabak COVID-19.

“Terima kasih kepada seluruh masyarakat Cina yang telah berganding bahu dengan kaum-kaum lain seperti Melayu, India, Kadazan, Dusun, Murut, Iban, Bidayuh dan Melanau sebagai sebuah Keluarga Malaysia.

“Marilah kita sama-sama berdoa, semoga tahun ini membawa kemakmuran, kebahagiaan dan kesihatan yang baik untuk seluruh Keluarga Malaysia. Gong Xi Fa Chai, Xin Nian Kuai Le’,” katanya.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

432
Kongsi :
Previous post Kluster pendidikan membimbangkan, JKN Melaka cadang sekolah ditutup
Next post Harga maksimum ayam standard dikurangkan sebanyak 20 sen mulai 5 Feb – PM
Ubah saiz-+=