KM ‘hadiah’ pantun untuk Ketua Pembangkang

Masa Membaca:1 Minit, 13 Saat

SERI NEGERI 30 November – Hari terakhir Persidangan Ketiga (Bajet) Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka Yang Kelima Belas di sini, diwarnai dengan pantun-pantun spontan oleh Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.

Ab Rauf dalam ucapan penggulungannya, menarik perhatian dewan dengan serangkap pantun ditujukan khas kepada Ketua Pembangkang.

“Kalau takut dilanda gelombang,
Jangan berumah di tepi pantai;
Itulah sebabnya hebat Ketua Pembangkang,
Banyak perkara tak boleh selesai.”

Bait-bait pantun itu dipercayai ditujukan secara sinis kepada pembangkang yang hanya bertindak menyokong usul kenaikan saraan untuk anggota Ahli  Pentadbiran Kerajaan Negeri, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Ex-Officio).

Namun, pada usul Bajet 2024 Negeri Melaka iaitu Rang Undang-Undang Enakmen Perbekalan 2024 yang banyak menyentuh kebajikan rakyat dan negeri, dua ahli pembangkang itu memilih untuk berkecuali.

“Saya harap dua orang pembangkang, jangan hanya sokong untuk naik gaji sahaja, sokonglah tonggak-tonggak bajet yang lebih memberi pulangan kepada rakyat kerana itu tugas kita.

“Walau tidak sefahaman sekalipun, dalam membentangkan perkara berkaitan rakyat seperti inisiatif Paramedik Komuniti, Kampung Digital dan satu rumah satu emel umpamanya, tidak salah jika kita sebagai wakil rakyat memberikan sokongan,” ujar Ketua Menteri.

Dalam pada itu, Ab Rauf dalam ucapannya turut merakamkan ucapan terima kasih menerusi serangkap pantun kepada ahli-ahli Yang Berhormat yang telah menyokong Bajet 2024 Negeri Melaka.

“Bubur selasih ubi keladi,
Lemak manis santan kelapa;
Terima kasih YB-YB,
Kerana menyokong Bajet Melaka.”

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1714
Kongsi :
Previous post Galak pengusaha taska, pusat jagaan tampil berdaftar
Next post Sikap ‘Ali Baba’ rugikan petani 
Ubah saiz-+=