Sikap ‘Ali Baba’ rugikan petani 

Masa Membaca:1 Minit, 30 Saat
SERI NEGERI 30 November – Kerajaan Negeri tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang mengambil kesempatan dengan menjalankan aktiviti ‘Ali Baba’ dalam Program Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM).
Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri, Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, TKPM tidak mencapai objektifnya untuk membantu meningkatkan taraf hidup petani jika ada yang mengamalkan ‘Ali Baba’.
Kata beliau, jika berlaku ia hanya menguntungkan orang tengah yang mendapat keuntungan berlipat kali ganda.
“Program diperkenalkan amat bagus, tetapi ada peringkat bawahan ini disalah guna oleh individu berkepentingan yang menjadi ‘Ali Baba’. Mereka meletakkan orang yang tidak sepatutnya yang bukan dalam kalangan petani untuk menerima manfaat ini.
“TKPM ini adalah untuk membantu petani mendapatkan sewaan tanah pada harga murah, lebih kurang RM1,500 setahun bagi tapak kira-kira 10 ekar.
“Tetapi ada yang salah guna kemudahan ini dengan memberi sewa kepada tiga hingga empat kali ganda lebih tinggi.
“Susulan itu Kerajaan Negeri akan pastikan selepas ini tiada lagi ‘Ali Baba’ berlaku dalam isu ini yang akhirnya menekan golongan petani kita,” katanya pada sidang media Persidangan Ketiga (Bajet) Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka Yang Kelima Belas, di sini, pada Khamis.
Mengulas lanjut, beliau berkata, langkah pembersihan dalaman akan dilaksanakan berterusan bagi mengelakkan golongan petani terus dihimpit dengan dengan kadar sewaan tinggi yang tidak masuk akal.
Menurutnya, Kerajaan Negeri akan mempertingkatkan polisi dan penguatkuasaan berhubung perkara terbabit bagi mengelakkan sebarang ketirisan.
“Bermula 2024, semua tanah TKPM yang sudah tamat sewaan diberikan bagi tempoh lima hingga 10 tahun akan diselaraskan dalam aspek permohonannya, agar kita dapat pastikan tapak ini
benar-benar diberikan kepada yang layak dan memerlukan.
“Kerajaan Negeri bertegas dalam perkara ini jadi mana-mana yang akan berakhir tahun ini dan untuk melaksanakan permohonan kita akan siasat serta pastikan ia benar-benar pada yang layak,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

592
Kongsi :
Previous post KM ‘hadiah’ pantun untuk Ketua Pembangkang
Next post Sidang DUN Melaka semakin berkualiti – KM
Ubah saiz-+=