Sidang DUN Melaka semakin berkualiti – KM

Masa Membaca:1 Minit, 25 Saat
SERI NEGERI 30 November – Persidangan Ketiga (Bajet) Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka Yang Kelima Belas yang berlangsung selama empat hari, bermula 27 November lalu disifatkan matang, berkualiti dan harmoni.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, perkara itu dapat dilihat menerusi kualiti perbahasan dan buah fikiran yang dilontarkan semua Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun).
Menurut Ab Rauf, ia sekali gus membuktikan kepimpinan yang ada pada hari ini berjaya menunjukkan ketokohan dan kebijaksanaan ketika bersidang.
“Saya pernah menjadi Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) sebelum ini dan saya melihat apabila anak-anak muda diberi peluang menjadi wakil rakyat ia berjaya menonjolkan kualiti yang sangat diperlukan pada masa kini.
“Pemikiran, penyelidikan dan lontaran kesemua yang ada ketika perbahasan dan menjawab soalan sepanjang sidang dewan ini nampak lebih matang serta berkualiti.
“Suasana ini sama sekali berbeza dengan sidang dewan suatu ketika dahulu yang lebih kepada menjerit dan mengeluarkan perkataan yang tidak sepatutnya,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas ucapan penggulungan Persidangan Ketiga (Bajet) Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka Yang Kelima Belas, di sini, pada Khamis.
Kata beliau, segala permasalahan rakyat yang telah disuarakan ahli-ahli dewan pada persidangan kali ini akan diberi perhatian serius oleh Kerajaan Negeri.
Jelas Ketua Menteri, permasalahan dan semua aduan itu akan diteliti sebelum diambil tindakan sewajarnya.
Dalam pada itu, beliau turut merakamkan ucapan terima kasih kepada semua penjawat awam yang menjadi tulang belakang dalam memberikan sokongan dan dukungan kepada Kerajaan Negeri.
“Alhamdulillah, semua usul juga telah diluluskan pada sidang dewan kali ini dan saya mohon sokongan semua pihak termasuk para pengamal media untuk menjayakan segala inisiatif termasuk Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024) yang bakal membuka tirai tidak lama lagi,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1090
Kongsi :
Previous post Sikap ‘Ali Baba’ rugikan petani 
Next post Aplikasi Melaka Agro Food atasi ketirisan 
Ubah saiz-+=