Kondominium jadi tempat bungkus dadah

Masa Membaca:1 Minit, 22 Saat

PANTAI KUNDOR 28 Februari – Polis menahan dua lelaki dan merampas lebih tiga kilogram dadah dianggarkan bernilai lebih RM110,000 dalam serbuan di sebuah kondominium di Tanjung Kling, di sini, Khamis lalu.

Serbuan kira-kira jam 3.30 pagi itu dilakukan sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Melaka.

Ketua Polis Melaka Datuk Zainol Samah berkata, hasil serbuan itu polis berjaya menahan dua lelaki tempatan masing-masing berusia 24 dan 35 tahun yang berada di dalam premis.

“Ketika serbuan terdapat dua suspek di dalam kondominium dan hasil pemeriksaan lanjut, polis kemudian berjaya merampas dadah dipercayai syabu seberat kira-kira 3.164 kilogram yang dianggarkan bernilai RM114,668.

“Hasil siasatan dadah ini dipercayai bagi pasaran Batu Pahat dan Johor Bahru selain ia boleh digunakan untuk seramai 15,820 penagih,” katanya.

Beliau berkata, siasatan dijalankan juga mendapati kedua-dua mereka ini sudah aktif sejak Jun tahun lalu.

“Malah suspek juga dipercayai menyewa kondominium itu bagi proses membungkus dadah sebelum diedarkan ke lokasi tertentu.

“Selain rampasan dadah, ketika serbuan juga polis turut merampas barangan milik suspek termasuk barangan kemas dianggarkan bernilai RM21, 763.00 dan wang tunai berjumlah RM13,000,” katanya.

Zainol berkata, hasil ujian saringan air kencing dilakukan, kedua-dua mereka didapati positif dadah dipercayai jenis Methamphetamine.

“Malah semakan dibuat juga mendapati kedua-dua mereka juga mempunyai rekod jenayah lampau.

“Suspek kini direman selama tujuh hari sehingga 1 Mac bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Dalam pada itu, Zainol turut meminta orang ramai agar menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti pengedaran dadah di kawasan sekitar menerusi talian hotline JSJN di talian 012-2087222.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1363
Kongsi :
Previous post Kerajaan pertimbang bayar yuran permulaan bantu belia sertai TVET
Next post 276 murid B40 terima sumbangan persekolahan
Ubah saiz-+=