Konflik di Ukraine: Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen bermesyuarat minggu depan

Masa Membaca:1 Minit, 26 Saat

KUALA LUMPUR, 26 Feb – Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen Malaysia bagi Hal Ehwal Antarabangsa akan mengadakan mesyuarat minggu depan apabila Parlimen bersidang serta menjemput Wisma Putra untuk memberi taklimat mengenai pendirian negara berkaitan hubungan diplomatiknya dengan Rusia dan Ukraine.

Pengerusinya Datuk Seri Salahuddin Ayub dalam kenyataan bersama dengan tujuh lagi Ahli Parlimen yang menganggotai jawatankuasa itu memaklumkan bahawa mereka juga akan melakukan kunjungan hormat ke atas Duta Ukraine ke Malaysia Olexander Nechytaylo bagi menzahirkan kebimbangan mengenai situasi tidak menentu terhadap keselamatan dan nasib rakyat negara tersebut.

“Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen Malaysia bagi Hal Ehwal Antarabangsa menzahirkan kebimbangan mendalam terhadap pencerobohan dan pencabulan hak asasi manusia sedemikian yang tidak mempunyai tempat di dunia ini pada abad ke-21 terutama ketika peperangan menentang pandemik COVID-19 belum berakhir,” menurut kenyataan itu.

Pada Khamis lepas, Presiden Rusia Vladimir Putin mengumumkan operasi ketenteraan khas di wilayah Donbas di timur Ukraine dan susulan itu, Presiden Ukraine Volodymyr Zelenskyy mengisytiharkan darurat di seluruh negara tersebut.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini berkata Malaysia amat prihatin dengan peningkatan konflik di Ukraine dan menggesa semua pihak yang terbabit agar mengambil langkah segera untuk meredakan ketegangan itu serta mencegah kemusnahan dan kehilangan nyawa.

Ismail Sabri berkata pada saat yang genting ini, setiap usaha perlu dilipatgandakan untuk mencari penyelesaian konflik secara aman dan damai menerusi dialog serta rundingan berdasarkan undang-undang antarabangsa dan Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Tujuh lagi Ahli Parlimen dalam jawatankuasa itu ialah Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz (Padang Rengas), Datuk Seri Azizah Mohd Dun (Beaufort), Datuk Abdullah Mat Nawi (Tumpat), Datuk Seri Tiong King Sing (Bintulu), Sim Tze Tzin (Bayan Baru), P Kasthuriraani (Batu Kawan) dan Awang Husaini Sahari (Putatan).- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

707
Kongsi :
Previous post Thailand hargai peranan Malaysia, mahu peranan pemudah cara dalam dialog damai diteruskan
Next post Petugas media dinasihati patuhi SOP PRN Johor
Ubah saiz-+=