Petugas media dinasihati patuhi SOP PRN Johor

Masa Membaca:2 Minit, 7 Saat

JOHOR BAHRU, 26 Feb – Semua petugas media dinasihati supaya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan bagi mengekang penularan COVID-19 ketika membuat liputan sepanjang proses Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa berkata petugas media mesti mematuhi setiap SOP memandangkan mereka juga tidak terlepas daripada dikenakan tindakan undang-undang sekiranya didapati melanggar SOP berkenaan.

Beliau berkata denda dan kompaun boleh dikenakan kepada sesiapa sahaja termasuk pemimpin negara dan parti politik sekiranya siasatan mendapati seseorang itu telah melanggar SOP, termasuk peraturan yang dikuatkuasakan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

“Tentang SOP, ia bukan benda baharu… dah lama digazetkan dan undang-undang tidak memilih sesiapapun dan itu kita harus hormati. Tiada siapa dikecualikan termasuk Perdana Menteri, Menteri (Kabinet) pun kena bayar kompaun jadi pengamal media tidak terkecuali.

Anggaplah ia satu peringatan bahawa SOP perlu dilaksanakan kepada setiap orang… tidak terlalu sukar untuk semua pihak mematuhi SOP kecuali dalam keadaan-keadaan tertentu,” katanya kepada pemberita selepas melawat Pusat Operasi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) dan Pusat Media Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM), satu kemudahan yang diwujudkan bagi liputan PRN Johor di Hotel Grand Paragon, di sini hari ini.

Turut mengiringi beliau, Pengerusi Bernama Senator Datuk Ras Adiba Radzi, Ketua Pengarang Khairdzir Md Yunus dan Editor Eksekutif Perkhidmatan Berita Harlina Samson.

Annuar berkata demikian ketika mengulas mengenai kompaun RM1,000 yang dikenakan ke atas seorang petugas media sementara seorang lagi diberikan amaran terakhir setelah didapati melanggar Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 ketika membuat liputan di pusat penamaan calon di Dewan Jabatan Kerja Raya Daerah Johor Bahru, pagi tadi.

Sementara itu, Ahli Parlimen Ketereh itu berharap agar semua pihak terlibat khususnya mereka yang bertanding menyediakan tempat dan jadual aktiviti masing-masing kepada petugas media bagi memudahkan mereka menjalankan tugas.

Ditanya mengenai kemungkinan debat terbuka diadakan menerusi siaran televisyen kerajaan, Annuar berkata debat terbuka seumpamanya tidak sesuai untuk disiarkan memandangkan saluran berkenaan bersifat nasional.

“Belum ada sebarang rancangan untuk diadakan debat di televisyen. Kita dalam menghadapi PRN Johor banyak parti, ada pertandingan tujuh, lima penjuru… jadi nak debat antara siapa? Terlalu banyak dan kita tidak boleh pilih kasih jadi biarlah ia bersifat nasional, kalau Pilihan Raya Umum (PRU) mungkin dipertimbangkan,” katanya.

Terdahulu, Annuar meluangkan masa kira-kira dua jam melawat Pusat Operasi PRN Johor Bernama, Pusat Media KKMM dan bilik operasi Malaysia Gazette.

Annuar turut tampil dalam program siaran langsung “Temu Bual Santai Bicara Bola Sepak” yang bersiaran dari Studio Mini Bernama TV di hotel yang sama.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

467
Kongsi :
Previous post Konflik di Ukraine: Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen bermesyuarat minggu depan
Next post Misteri kehilangan tujuh ayam terjawab
Ubah saiz-+=