Sorting by

×

Kongsi ‘sampul merah’ bersama keluarga B40

Masa Membaca:1 Minit, 33 Saat

AYER LIMAU – Seramai 30 penduduk berbangsa Cina di sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Limau menerima sumbangan menerusi program SWM Kasih Misi Sampul Merah yang berlangsung baru-baru ini.

Inisiatif tanggungjawab sosial korporat SWM Environment Sdn. Bhd. (SWM Environment) itu menyasarkan penduduk dalam kalangan keluarga B40 serta mereka yang terjejas dalam musibah banjir, baru-baru ini.

Program itu turut disertai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Limau Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer.

Menurut Pengurus Besar Korporat SWM Environment, Mohd Norlisam Mohd Nordin, program itu diadakan bertujuan untuk berkongsi kegembiraan Tahun Baharu Cina yang bakal disambut pada 1 dan 2 Feb ini bersama golongan yang kurang berkemampuan.

“Sudah menjadi tradisi SWM Environment melalui SWM Kasih untuk menghulurkan sumbangan kepada masyarakat yang kurang bernasib baik sempena perayaan utama di negara ini.

“Ada dalam kalangan penerima sumbangan ini merupakan mangsa banjir yang melanda Melaka, baru-baru ini.

“Jadi diharapkan sumbangan kecil ini dapat memberi keceriaan dan memeriahkan lagi sambutan Tahun Baharu Cina mereka meskipun baru dilanda musibah banjir,” katanya.

SWM Kasih Misi Sampul Merah berlangsung di Kompleks Japerun Ayer Limau dan turut dihadiri Adun Ayer Limau, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer.

Dalam pada itu, Mohd Norlisam turut mengingatkan orang ramai agar mengelakkan pembaziran makanan semasa musim perayaan.

Ia, jelasnya penting dalam memastikan sisa makanan yang dilupuskan di tapak pelupusan dapat dikurangkan.

“Sempena musim perayaan ini juga, marilah kita bersama-sama menjaga kebersihan persekitaran di rumah dan kawasan awam serta memupukkan budaya Pengasingan Sisa di Punca (SAS) serta aktiviti 3R (kurangkan janaan sisa, guna semula, dan kitar semula),” katanya.

Orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan berhubung perkhidmatan kutipan sisa pepejal dan pembersihan awam sepanjang tempoh sambutan Tahun Baru Cina ini, boleh menghubungi Talian Indahkan Malaysia 1-800-88-7472 dan Talian WhatsApp SWM di 012-618 0082.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

599
Kongsi :
Previous post Gelombang Omicron telah bermula di Malaysia – Khairy
Next post Jangan ambil kesempatan naikkan harga barang saat akhir
Ubah saiz-+=