Koperasi Keluarga gah ke peringkat antarabangsa

Masa Membaca:3 Minit, 31 Saat

DAHULU, mungkin ramai yang melihat kewujudan koperasi lebih berkaitan dengan perniagaan kecil-kecilan terutama di peringkat sekolah dan kampung.

Namun, tahukah anda penubuhan koperasi masa kini sudah jauh melangkaui arus kemodenan dan semakin berwajah baharu sehingga mampu sampai ke peringkat antarabangsa?

Perkara itu disahkan Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Melaka, Mohd Firdaus Shaari dalam satu wawancara bersama Melaka Hari Ini (MHI) baru-baru ini.

Sejak SKM ditransformasikan pada 2007, kata beliau, ia berevolusi ke satu aras lebih tinggi apabila sehingga kini terdapat hampir 15,000 koperasi di seluruh negara berdaftar di bawah badan berkanun itu.

Di Melaka sahaja, katanya, setakat Disember 2019, terdapat 477 koperasi berdaftar dengan jumlah aset terkumpul keseluruhan sebanyak RM543.378 juta dan `turn over’ sebenar sebanyak RM145.386 juta!

BUKAN BERMOTIFKAN KEUNTUNGAN

Berbeza dengan syarikat, ujar Mohd. Firdaus, penubuhan koperasi bukan satu entiti yang mementingkan keuntungan semata-mata sebaliknya turut memberi penekanan terhadap kepentingan anggota dalam menjaga kebajikan dan meningkatkan ekonomi anggota koperasi itu sendiri.

“Setiap koperasi perlu mempunyai sekurang-kurangnya 50 anggota. Sebab itulah penekanan diberikan kepada kepentingan anggota selain keuntungan.

“Jika dalam satu koperasi ada 100 anggota, maka 100 itulah yang akan dapat manfaat. Manfaat ini biasanya dalam bentuk dividen tahunan dan juga bentuk lain seperti tabung kebajikan dan sebagainya,” katanya dalam wawancara itu.

Menurut Mohd Firdaus, dengan berdaftar di bawah SKM, setiap koperasi bakal mendapat manfaat penting seperti pembiayaan pinjaman perniagaan di bawah Tabung Modal Pusingan Jabatan Pembangunan Koperasi (TMPJPK).

“Setiap koperasi boleh memohon tertakluk kepada syarat yang ditetapkan. Pembiayaan pinjaman ini lebih kepada modal pusingan untuk setiap koperasi dan ia perlu dibayar balik mengikut perjanjian yang ditetapkan.

“Selain pinjaman, SKM juga menawarkan geran bantuan bagi penambahbaikan infrastruktur yang mana ia tidak perlu dibayar balik. Namun, sudah tentulah setiap koperasi perlu mengikuti syarat-syarat yang ditetapkan untuk mendapatkan geran bantuan ini,” katanya.

Bagi setiap koperasi baharu yang ingin berdaftar jelasnya, ia boleh membuat permohonan secara atas talian dan selepas itu pihak SKM akan mengadakan sesi konsultasi dengan koperasi yang bakal ditubuhkan.

Katanya, konsultasi itu diadakan bagi membolehkan setiap koperasi baharu membentangkan segala perancangan aktiviti, sasaran keanggotaan dan belanjawan sebelum diputuskan jawatankuasa teknikal SKM sama ada boleh diluluskan atau sebaliknya.

PELBAGAI CABANG KOPERASI

Mohd Firdaus berkata, setiap koperasi yang berdaftar di Melaka mempunyai pelbagai fungsi dan cabangnya tersendiri.

Antara sembilan fungsi koperasi yang ada di negara ini ujarnya, ialah seperti koperasi pengguna, koperasi perkhidmatan, koperasi pertanian, koperasi pembinaan, koperasi kredit, koperasi pengangkutan, koperasi perindustrian dan koperasi perumahan.

SKM, katanya, urut menggalakkan setiap koperasi di Melaka menceburkan diri dalam aktiviti pelancongan dan menyokong segala usaha kerajaan negeri untuk memajukan sektor berkenaan sepanjang Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2020.

“Koperasi yang terlibat dengan aktiviti pelancongan di Melaka masih tidak banyak sebab itulah kita menggalakkan koperasi menuju ke arah itu memandangkan Melaka terkenal dengan aktiviti pelancongan.

“Contoh kita nak galakkan lebih banyak koperasi menguruskan inap desa (homestay) atau ekopelancongan yang dapat menonjolkan identiti serta budaya masyarakat Melaka,” katanya.

Malah, beliau turut menyambut baik usaha yang dilakukan sebuah koperasi keluarga di Melaka apabila mampu menganjurkan satu acara berbasikal yang telah menembusi peringkat antarabangsa.

KOCHEME TEMPA NAMA DI PERINGKAT ANTARABANGSA

Koperasi Keluarga Hajah Che Me Melaka Berhad (KOCHEME) menjadi bukti sebuah koperasi di Melaka yang mampu menempa nama di persada antarabangsa.

Ini apabila program berbasikal yang dianjurkannya, Lendu Lasak Mountain Bike Challenge mendapat perhatian pelumba luar negara termasuk dari Amerika Syarikat, Britain dan Perancis.

Menurut Pengerusinya, Junaidah Ibrahim, sejak mula diadakan pada 2017 lalu, penyertaan daripada peserta luar negara kian bertambah saban tahun dengan tahun lalu ia mendapat penyertaan daripada 24 peserta antarabangsa.

Ujarnya, pihaknya amat berterima kasih kepada SKM kerana banyak membantu mengembangkan koperasi keluarga itu hingga ke tahap yang ada sekarang.

 

“Dahulu saya merupakan Pengerusi Koperasi Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN). Jadi, dari situ saya tahu bahawa ada banyak faedah dan manfaat yang boleh diterima melalui penubuhan koperasi.

“Dari itu, saya memulakan perancangan untuk koperasi keluarga dengan niat untuk bantu keluarga dan meningkatkan lagi ekonomi keluarga saya.

“Pada 2010, kita memulakan koperasi ini dan disebabkan keluarga mempunyai sebidang tanah, kita mula bangunkan perniaga dan menubuhkan D’Baruh, lokasi yang menjadi penganjuran Lendu Lasak dan juga tapak perkhemahan.

“Jika dahulu ramai melihat koperasi sebagai entiti kecil yang menjalankan perniagaan kecil-kecilan, kini kami membuktikan yang ia (koperasi) sebenarnya lebih daripada itu,” katanya.

Views:

4557
Kongsi :
Previous post Pasca Covid-19: Pembangunan di Melaka akan kembali pesat dengan kehadiran pelabur – KM
Next post 1,200 jemaah haji ‘terkandas’ berpeluang tunaikan rukun Islam kelima, tahun depan
Ubah saiz-+=