Koperasi Melaka serah zakat perniagaan RM147,485.84

Masa Membaca:1 Minit, 12 Saat

AYER KEROH 29 Julai – Sebanyak RM147,485.84 zakat perniagaan telah diserahkan kepada Zakat Melaka dalam Majlis Penyerahan Zakat Perniagaan Koperasi 2020 yang berlangsung, hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Penternakan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri Datuk Norhizam Hassan Baktee berkata, jumlah itu disumbangkan daripada 19 buah koperasi di negeri ini sebagai satu tanggungjawab wajib usahawan sektor koperasi di seluruh negara.

Katanya, statistik menunjukkan sumbangan zakat perniagaan yang disumbangkan Gerakan Koperasi Melaka menunjukkan peningkatan saban tahun terutama pada 2019 dengan RM550,014.04 kutipan zakat daripada 47 koperasi berdaftar direkodkan yang mana jumlah itu meningkat sebanyak 9.22 peratus berbanding 2018.

“Berdasarkan maklumat yang dikemukakan Pusat Zakat Melaka, jumlah zakat perniagaan yang disumbangkan oleh Gerakan Koperasi bagi tahun 2018 ialah sebanyak RM503,593.37, manakala pada 2017 sebanyak RM447,533.78 telah disumbangkan. Jadi ia menunjukkan satu peningkatan yang amat baik.

“Saya amat berharap prestasi ini dapat dikekalkan sebagai usaha meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap gerakan koperasi sebagai penyumbang kepada pembangunan ekonomi negara dan kesejahteraan rakyat,” katanya dalam sidang media selepas majlis berkenaan.

Hadir sama, Pengarah SKM Melaka Mohd Firdaus Shaari dan Ketua Pegawai Eksekutif Zakat Melaka Datuk Ibrahim Fadzil.

Tambah Norhizam, pihaknya bersama Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Melaka akan memastikan majlis penyerahan zakat perniagaan seperti ini akan diteruskan bagi memberi galakan dan kesedaran kepada semua koperasi di Melaka untuk menunaikan tanggungjawab masing-masing.

Jelasnya, melalui zakat perniagaan itu, ia dapat membantu dalam meningkatkan taraf hidup golongan asnaf khususnya di Negeri Melaka.

Views:

353
Kongsi :
Previous post PM akan umum mengenai lanjutan moratorium, bantuan bersasar petang ini
Next post Kutipan zakat Melaka menurun
Ubah saiz-+=