Kutipan zakat Melaka menurun

Masa Membaca:1 Minit, 9 Saat

AYER KEROH 29 Julai – Kutipan Zakat Melaka setakat Januari hingga Jun tahun ini menurun sebanyak 8.81 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif Zakat Melaka, Datuk Ibrahim Fadzil berkata antara faktor yang menyumbang penurunan itu ialah berikutan penularan pandemik Covid-19 sejak pertengahan Mac lalu yang menyaksikan semua kaunter zakat terpaksa ditutup selama tiga bulan.

Sehubungan itu, katanya, pihaknya mungkin berdepan kesukaran untuk mencapai kutipan RM104.6 juta yang disasarkan tahun ini.

“Melihat kepada kutipan yang ada sekarang kita berasakan memang agak sukar untuk capai sasaran tersebut memandangkan berlaku penurunan dari segi pembayar dan jumlah bayaran zakat.

“Bagaimanapun kita berharap menjelang hujung tahun ini, akan ada peningkatan dari segi kutipan zakat memandangkan banyak syarikat-syarikat mungkin akan membayar zakat mengikut audit tahun lepas,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui menghadiri Majlis Penyerahan Zakat Perniagaan Koperasi 2020 di sini, hari ini.

Dalam pada itu, mengulas mengenai kutipan zakat secara atas talian, Ibrahim berkata, berlaku peningkatan yang sungguh drastik daripada platform berkenaan sepanjang tahun ini.

“Jika tahun lepas yang membayar zakat fitrah secara atas talian hanya 64,000 sahaja, tetapi tahun ini yang bayar meningkat mendadak kepada lebih satu juta.

“Maknanya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikenakan kerajaan ada hikmahnya jugalah. Bila orang ramai mendekati internet dan teknologi, ia turut memberi kesan kepada kutipan zakat yang boleh dibuat menerusi platform izakat dan juga melalui perbankan atas talian,” katanya lagi.

Views:

836
Kongsi :
Previous post Koperasi Melaka serah zakat perniagaan RM147,485.84
Next post Enakmen Zakat dan Fitrah Melaka bakal diperkenalkan
Ubah saiz-+=