Kopitiam di Tengkera guna penghantar makanan robot

Masa Membaca:1 Minit, 31 Saat

TENGKERA 19 Feb. – Dalam usaha mengekang penularan COVID-19, sebuah kopitiam di Tengkera,  tampil dengan cara unik apabila menggunakan robot sebagai penghantar makanan.

Pengusahanya, Fun Guo Xuan, 36, berkata, walaupun terpaksa mengeluarkan belanja yang mahal iaitu RM40,000 untuk robot berkenaan, dia gembira kerana mencipta kelainan tersendiri.

Bercerita lanjut, juruterbang itu bersama isterinya yang juga seorang pramugari berkata, mereka baharu sahaja dua bulan menjalankan perniagaan kedai makan Ah Kor Kopitiam bagi menambah pendapatan keluarga.

Menurut Guo Xuan, sebelum ini perniagaannya yang popular dengan menu Mi Udang Peringgit hanya menggunakan khidmat lima pekerja dengan dibantu anggota keluarganya.

SEBUAH kopitiam di Tengkera menggunakan robot sebagai penghantar makanan.

“Namun bila terlihat beberapa restoran mewah dalam negara mula menggunakan robot sebagai pelayan, saya tertarik dan membeli satu robot jenis ‘Pudubot’ berharga RM40,000 yang dibayar secara ansuran.

“Robot ini mampu ‘bekerja’ sehingga 20 jam tanpa henti membawa barang sehingga 40 kilogram pada satu-satu masa,” katanya ketika ditemui di premis perniagaannya, di sini.

Ditanya apakah yang membuatkannya membuat pelaburan semahal itu ketika sektor perniagaan negara berdepan cabaran ekonomi, jelasnya untuk jangka panjang penggunaan ‘Pudubot’ hampir sama jika dia menggaji pekerja.

“Sebenarnya kalau dihitung kembali, kosnya agak sama jika menggunakan tenaga manusia yang dibayar gaji selama tiga tahun.

“Saya membayar ansuran lebih RM1,000 sebulan, yang mana ia adalah jumlah sama seperti membayar gaji pekerja, tapi lebih baik kerana robot tidak sakit dan jika rosak pun pusat jualan akan membaikinya,” katanya.

Namun apa yang lebih menarik menurut Guo Xuan, sejak menggunakan khidmat robot berkenaan dia menerima maklum balas positif daripada pelanggan terutama warga emas yang bimbang dengan penularan COVID-19 ketika ini.

“Melihat kepada keberkesanan robot ini yang akan bergerak mengikut alat pengesan dipasang di setiap meja, saya bercadang bercadang untuk menambah lagi jumlah robot pada masa depan,” katanya.

Views:

1075
Kongsi :
Previous post Trend penyalahgunaan dadah kalangan belia di Melaka membimbangkan
Next post Lelaki tertua Kampung Bahagia di Kelantan dakwa berusia 120 tahun
Ubah saiz-+=