KPDN PERKUKUH EKOSISTEM PERNIAGAAN PATUH DI MELAKA

Masa Membaca:1 Minit, 39 Saat

AYER KEROH 1 Oktober – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Melaka memperkukuh agenda pematuhan peniaga dan perlindungan pengguna menerusi pelaksanaan Program PATUH 2026 yang dilancarkan hari ini.

Pengarah KPDN Melaka, Dr. Mohd Hazimin Jamaludin berkata, program berkenaan digagaskan berteraskan lima prinsip utama sebagai panduan kepada peniaga dalam melaksanakan urus niaga secara bertanggungjawab.

Katanya, lima prinsip berkenaan meliputi penandaan harga yang jelas, penggunaan alat timbang yang ditentusahkan, transaksi telus, urus niaga secara jujur serta penetapan harga berpatutan tanpa unsur pencatutan.

“Program ini merupakan pendekatan advokasi bersepadu yang diperkukuh melalui jaringan kerjasama pelbagai agensi kerajaan dan swasta.

“Kerjasama ini memperlihatkan komitmen bersama dalam membentuk ekosistem perdagangan yang lebih teratur, telus dan mesra pengguna, selain memberi ruang kepada peniaga meningkatkan kesedaran mengenai keperluan pematuhan dalam menjalankan perniagaan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas pelancaran Program PATUH 2026 Peringkat Negeri Melaka di Taman Buaya dan Rekreasi Melaka, di sini, hari ini.

Menurutnya, pelaksanaan program berkenaan merangkumi tiga skop utama iaitu Pasar PATUH, Zon Tumpuan Pelancongan PATUH dan Persinggahan PATUH.

Katanya, peniaga turut dibekalkan Tanda Harga PATUH sebagai panduan kepada pengguna, manakala Kaunter Semak Timbang Layan Diri disediakan di lokasi Pasar PATUH terpilih bagi membolehkan pengguna menyemak ketepatan timbangan barangan yang dibeli.

“Antara agensi strategik yang terlibat termasuk Bahagian Pelancongan, Jabatan Ketua Menteri Melaka, pihak berkuasa tempatan (PBT), Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Negeri Melaka, Jabatan Kesihatan Negeri Melaka dan Metrology Corporation Malaysia Sdn Bhd.

“Turut terlibat Pejabat Tanah dan Galian, Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO), Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya serta rakan korporat seperti Touch ‘n Go,” katanya.

Dalam pada itu, KPDN Melaka menggalakkan orang ramai menjadi mata dan telinga Kerajaan dengan menyalurkan maklumat berkaitan sebarang pelanggaran peraturan menerusi saluran rasmi yang disediakan.

Aduan boleh disalurkan menerusi WhatsApp di talian 019-848 8000, portal e-Aduan, Pusat Panggilan KPDN 1-800-886-800, aplikasi Ez Adu KPDN atau Pusat Arahan Penguatkuasaan (ECC) KPDN Melaka di talian 06-2345869.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

505
Kongsi :
Previous post MELAKA MEMBINA MASA DEPAN MARITIM LEBIH HEBAT
Next post BELI RUMAH I-MOLEK, MENANG BESAR