KPDNHEP kaji semua aspek penurunan harga pelitup muka

Masa Membaca:1 Minit, 20 Saat

BANDA HILIR 30 Ogos – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) sedang mengkaji semua aspek dalam usaha menurunkan lagi harga siling runcit pelitup muka tiga lapis dibawah RM1.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Alexander Nanta Linggi berkata, perbincangan itu bagi memastikan usaha itu adil bagi semua pihak yang terbabit termasuk pengguna, pengilang dan pengimport.

“Kerajaan masih mengadakan perbincangan dengan 13 pengilang tempatan bagi menurunkan lagi harga siling pelitup muka selepas penurunan harga kawalan berkuat kuasa pada 15 Ogos lepas.

“Malah kita juga perlu memastikan harga yang ditetapkan tidak terlalu rendah dan menjejaskan industri sehingga terpaksa ditutup dan sekiranya berlaku dimana kita hendak mendapatkan bekalan nanti memandangkan pelitup muka amat penting untuk keselamatan serta kesihatan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Pelancaran Kempen Jualan Malaysia dan Kempen Beli Barangan Malaysia Peringkat Negeri Melaka 2020 di sini.

Turut merasmikan kempen ialah Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Utama Haji Sulaiman Md Ali serta hadir sama Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid.

Mengulas lanjut beliau berkata, sebanyak 115.35 juta keping pelitup muka tiga lapis dan N95 yang dikeluarkan 26 pengilang tempatan dan luar dalam tempoh Januari hingga 25 Ogos untuk kegunaan rakyat dalam usaha memutuskan rantaian wabak Covid-19.

“Pada awal pelaksanaan peringkat kawalan pergerakan (PKP) pada 18 mac lalu, hanya empat buah kilang tempatan mengeluarkan pelitup muka bagi memenuhi keperluan semasa sebelum meningkat kepada 13 buah kilang ketika ini.

“Kita juga memberi jaminan bekalan pelitup muka mencukupi sehingga tamat tempoh perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP) yang dijangka sehingga 31 disember ini dengan dibantu oleh bekalan import,” katanya.

Views:

276
Kongsi :
Previous post COVID-19: 17 kes baharu libatkan 15 import, dua penularan tempatan
Next post Kerajaan negeri fokus bangunkan semula ekonomi rakyat
Ubah saiz-+=