Kerajaan negeri fokus bangunkan semula ekonomi rakyat

Masa Membaca:1 Minit, 4 Saat

BANDA HILIR 30 Ogos – Kerajaan negeri memberi fokus memperkukuhkan proses pemantauan dan penguatkuasaan berkaitan kawalan harga barangan serta perkhidmatan dalam memulih dan membangunkan semula ekonomi rakyatnya.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Haji Sulaiman Md Ali berkata, usaha itu selaras dalam menangani peningkatan kos sara hidup rakyat Melaka yang kini hampir mencecah 1 juta penduduk.

“Kerajaan negeri memberi komitmen penuh terhadap usaha dalam memulih dan membangunkan semula ekonomi rakyatnya.

“Ini bertujuan bagi memastikan ia berpatutan serta memenuhi keperluan pengguna selain meringankan beban khusus buat golongan B40,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Program Jualan Malaysia (PJM) dan Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM) Peringkat Negeri Melaka, di Mahkota Parade, di sini.

Turut sama merasmikan majlis itu ialah Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Alexander Nanta Linggi.

Mengulas lanjut beliau berkata, Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM) adalah penjenamaan semula Kempen Beli Barangan Buatan Malaysia yang dilancarkan pada 1998 yang bertujuan menggalakkan pengguna membeli barangan buatan Malaysia dan membantu pengusaha tempatan.

“Dalam merancakkan ekonomi domestik, kempen seumpama ini perlu dipergiat dan diperkukuhkan secara komprehensif kerana cabaran globalisasi perniagaan kini bannyak menyumbang kepada pembelian barangan luar negara

“Besar harapan saya agar inisiatif kerajaan dapat dilaksanakan secara berterusan dan mendapat sokongan daripada rakyat serta berupaya mencapai hasrat demi memulihkan kembali ekonomi negeri serta negara,” katanya.

Views:

323
Kongsi :
Previous post KPDNHEP kaji semua aspek penurunan harga pelitup muka
Next post Puisi Merdeka Ketua Menteri Datuk Seri Utama Haji Sulaiman Md Ali
Ubah saiz-+=