
SARINGAN OKTOBER TENTUKAN KEMASUKAN MURID TABIKA AUTISME KEMAS
DUYONG 28 September – Proses saringan kanak-kanak yang bakal mengikuti Tabika Autisme Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) akan dilaksanakan sepanjang Oktober ini bagi menentukan calon yang memenuhi kriteria ditetapkan.
Ketua Pengarah KEMAS Datuk Mohd Hanafiah Man berkata, saringan tersebut akan dilaksanakan dengan kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi mengenal pasti tahap autisme setiap kanak-kanak.
Katanya, proses itu bukan sekadar pendaftaran, sebaliknya calon perlu melalui saringan bagi memastikan mereka sesuai mengikuti kelas berkenaan.
“Sepanjang Oktober ini kita akan mulakan saringan dan ia bukanlah sekadar pendaftaran. Perlu melalui saringan bersama KKM untuk memastikan tahap autisme murid,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Festival Masyarakat KEMAS Negeri Melaka (FESMA) di Dewan Serbaguna Semabok Dalam, di sini, semalam.
Festival itu dirasmikan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh yang mewakili Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Utama Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Salhah Salleh; Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer serta kenamaan lain.
Mengulas lanjut, Mohd Hanafiah berkata, kanak-kanak yang dipilih juga perlu berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi memastikan mereka mendapat bantuan atau elaun yang disediakan kepada golongan kanak-kanak berkeperluan khas.
“Kita mahu memastikan anak-anak istimewa ini juga telah berdaftar dengan JKM untuk mereka juga mendapat elaun ataupun bantuan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

