
HAMPIR 400 GURU KEMAS DILATIH KENDALI TABIKA AUTISME
DUYONG 28 September – Hampir 400 guru Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) dilatih Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sebagai persediaan mengendalikan Tabika Autisme.
Ketua Pengarah KEMAS Datuk Mohd Hanafiah Man berkata, latihan tersebut dilaksanakan bagi memastikan guru mempunyai persediaan mencukupi untuk mengendalikan kanak-kanak dalam spektrum autisme tahap ringan.
Katanya, setiap kelas Tabika Autism akan dikendalikan tiga guru dengan seorang guru bertanggungjawab terhadap antara lima hingga tujuh kanak-kanak.
βUntuk persiapan yang kita telah buat, satu kelas memerlukan tiga orang guru.
βDaripada 132 Tabika Kemas Autisme yang bakal dibuka pada Januari depan, jangkaan akan ada lebih kurang hampir 400 orang guru yang telah dilatih melalui program sangkutan di Kementerian Pendidikan Malaysia.
βSeorang guru akan jaga antara lima hingga tujuh anak yang terlibat kerana itu adalah standard yang ditetapkan,β katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Festival Masyarakat KEMAS Negeri Melaka (FESMA) di Dewan Serbaguna Semabok Dalam, di sini, semalam.
Festival itu dirasmikan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh yang mewakili Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Utama Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Salhah Salleh; Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer serta kenamaan lain.
Tambahnya, KEMAS turut mengadakan perbincangan dengan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) bagi menyediakan sijil profesional dalam bidang pendidikan khas kepada guru KEMAS terlibat.
Katanya, usaha itu akan menjadi nilai tambah kepada guru KEMAS dalam meningkatkan kompetensi mereka untuk mengendalikan kelas berkenaan.
βDi peringkat kementerian kita sedang mengadakan perbincangan dengan UPSI bagi memberikan sijil profesional untuk pendidikan khas.
βInsyaAllah, ini sekurang-kurangnya menjadi nilai tambah kepada cikgu-cikgu kita nanti,β katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

