KPM terus pantau murid risiko cicir, kekal sekolah sehingga tamat – Fadhlina

Masa Membaca:1 Minit, 44 Saat

PUTRAJAYA, 1 Jan – Kementerian Pendidikan (KPM) akan terus memantau dan melakukan intervensi ke atas murid berisiko cicir agar golongan itu terus kekal bersekolah sehingga tamat tingkatan lima, kata Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek.

Beliau berkata langkah itu bertujuan memastikan hak setiap anak bangsa memperoleh kesaksamaan pendidikan dicapai walau di mana berada.

“KPM amat prihatin akan masalah pendidikan khasnya isu keciciran dalam kalangan pelajar dan sentiasa mencari jalan penyelesaian ke arah sifar keciciran,” katanya dalam perutusan Tahun Baharu 2023 menerusi hantaran dalam akaun Facebooknya hari ini.

Menyifatkan pendidikan sebagai gerbang menuju ke galaksi pengetahuan yang terbentang luas, Fadhlina berkata proses pencarian, pembinaan serta pengumpulan ilmu wajib dijadikan budaya penerokaan yang bersifat membina otak dan watak.

Justeru katanya, tujuh teras utama yang menjadi tumpuan KPM dalam mengemudi sistem pendidikan negara memerlukan sinergi antara guru, murid, ibu bapa serta komuniti yang merupakan kunci kejayaan pendidikan masa depan.

Teras terbabit ialah komunikasi cekap dan telus antara kementerian serta sekolah; memberi penekanan kepada aspek keramahan insaniah melalui pembentukan adab, akhlak dan integriti; kemiskinan berbilang dimensi B40; keciciran pendidikan dan masalah literasi; kebajikan guru; ubah suai dan naik taraf sekolah daif terutama di Sabah dan Sarawak serta peningkatan keupayaan pendidikan digital di sekolah.

Walaupun landasan sistem pendidikan yang diwarisi ketika ini telah melalui beberapa siri pemurniaan, Fadhlina berkata warga pendidik tidak boleh berkompromi dalam memastikan tekad beban guru dikurangkan dan kesejahteraan murid diraih secara menyeluruh.

“Pendekatan untuk mengekalkan dasar sedia ada diangkat dan ditambah baik dengan pemantauan di peringkat implementasi,” katanya.

Beliau berkata ekosistem harmoni juga perlu diterjemah dalam rangka murid ceria, guru bahagia, sekolah bitara dan negara sejahtera bagi mengangkat kemuliaan insan tidak kira apa jua latar belakang kaum, agama serta bangsa.

“Individu yakni murid, guru dan warga pendidik yang berkongsi harapan ini pastinya dapat menggarap nilai kemanusiaan, dan sekolah dapat menjadi medan yang bebas daripada gejala negatif, gangguan seksual, buli, ekstremisme, gengsterisme dan lain-lain,” katanya.

Beliau menyeru warga pendidik untuk terus melaksanakan tanggungjawab dengan didasari elemen profesionalisme serta menjadikan sifat itu sebagai jambatan erat dengan setiap pihak berkepentingan dalam sektor pendidikan.

— BERNAMA

 

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2273
Kongsi :
Previous post Tanjung Bidara tumpuan ‘raja’ litar RC
Next post Kerajaan Negeri tunggu laporan penuh kes penonton maut dilanggar kereta lumba
Ubah saiz-+=