Tanjung Bidara tumpuan ‘raja’ litar RC

Masa Membaca:1 Minit, 34 Saat

TANJUNG BIDARA 1 Januari – Penggemar permainan kereta kawalan radio jarak jauh (RC) dari seluruh negara berkumpul di Melaka sempena Kejohanan RC Offroad Challenge Melaka 2022 bertempat di RC Kupang, Kampung Balik Batu di sini semalam.

Kejohanan itu julung kali diadakan selepas trek baharu yang serba lengkap itu dilihat mencapai standard menjalankan acara pertandingan RC berskala besar.

Penganjur kejohanan, Anuar Tompang, 52 berkata, trek yang dibina dengan permukaan karpet itu difahamkan adalah yang pertama di Malaysia malah satu-satunya litar RC di Melaka.

“Trek ini kita bangunkan awalnya hanya untuk berskala kecil, main kereta ‘control’ suka-suka sahaja sebab ramai orang Tanjung Bidara minat permainan ini.

“Selepas kita berjaya masuk dalam Liga Perlumbaan RC Malaysia yang dianjurkan di Putrajaya dan Johor, nampak semakin ramai yang serius dengan permainan ini.

“Jadi dengan usaha penduduk dan disokong oleh Majlis Daerah Alor Gajah serta Badan Bukan Kerajaan (NGO), kita bangunkan trek dengan menggunakan karpet sahaja di mana kalau di luar negara litar begini sudah lama digunakan kerana lebih mencengkam dan tidak mudah menggelongsor daripada laluan,” katanya yang ditemui pada kejohanan itu.

AA9F09F4-DB5B-4C24-8805-6425F47DAE4B
ANUAR

Tambahnya, atas permintaan yang tinggi pihaknya juga telah mengemukakan cadangan untuk memindahkan litar itu ke Pantai Tanjung Bidara pada masa akan datang.

“Saya mengemukakan cadangan itu kepada pihak Majlis kerana saya yakin lebih ramai orang akan menyertai sukan mahal ini lebih-lebih lagi itu pantai peranginan sekali gus dapat meningkatkan pelancongan di situ.

“Seperti kejohanan hari ini kita akan menyediakan kemudahan lain termasuk meja pit dengan pengecasan, tempat pemandu mengawal kenderaan dan bengkel RC,” katanya.

Mengulas mengenai kejohanan tersebut, katanya sebanyak 80 penyertaan diterima biarpun baru pertama kali diadakan di Melaka.

Peserta RC dari seluruh negeri turut mengambil bahagian dalam kejohanan ini menerusi beberapa kategori yang dipertandingkan antaranya ‘battle’ catatan masa terpantas, pecutan minyak dan besar skala.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2405
Kongsi :
Previous post Pari 10kg Tambak Klebang hadiah tahun baharu
Next post KPM terus pantau murid risiko cicir, kekal sekolah sehingga tamat – Fadhlina
Ubah saiz-+=