KPM umum 10 prakarsa kebajikan guru

Masa Membaca:3 Minit, 10 Saat

AYER KEROH 16 Mei – Kementerian Pendidikan Malaysia menggariskan 10 prakarsa atau inisiatif bagi memperkasa kebajikan guru-guru di negara ini.

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata, 10 perkara itu diumumkan bagi membantu mengurangkan kos sara hidup, merancakkan ekonomi negara, selain meningkatkan kesejahteraan warga pendidik.

Katanya, perkara pertama ialah penambahbaikan Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 5/2002: Lawatan Sekolah Pada Hari Persekolahan, yang menggalakkan pihak sekolah menganjurkan lawatan berunsur pendidikan kepada pelajar.

Jelasnya, bagi memastikan peluang adil kepada semua murid mengikuti lawatan, maka maka lawatan semasa hari persekolahan diberikan dua kali dalam setahun bagi setiap murid dan boleh dilakukan berdasarkan keperluan, kemampuan dan kesesuaian sekolah, berbanding hanya maksimum dua kali dalam setahun bagi setiap sekolah sebelum ini.

“Lawatan semasa hari persekolahan akan dikira sebagai sebahagian proses pengajaran dan pembelajaran (PdP),” katanya ketika berucap pada Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan Kali Ke-52 Tahun 2023 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini.

Menurut Fadhlina, inisiatif kedua ialah memperluaskan sekolah Komprehensif K9 dengan pertambahan sepuluh buah sekolah lagi dalam usaha mengatasi isu keciciran murid khususnya di kawasan pedalaman dan orang asli.

Katanya, K9 adalah kesinambungan pendidikan rendah ke pendidikan menengah rendah (Tingkatan 1-3) di bawah satu bumbung dan di bawah pentadbiran guru besar di mana sehingga kini terdapat 12 buah Sekolah K9 beroperasi di seluruh negara.

Tambah beliau, perkara ketiga ialah perluasan Sekolah Bimbingan Jalinan Kasih (SBJK) ke negeri Sabah.

Katanya, KPM menubuhkan SBJK untuk menggerakkan usaha dalam memberikan akses pendidikan kepada kanak-kanak jalanan dan terpinggir, selain mereka yang tidak memiliki dokumen pengenalan diri.

“Peluasan SBJK secara rintis akan dilaksanakan di Kota Kinabalu, Sabah. Semoga inisiatif ini akan dapat memberi akses pendidikan kepada semua murid dan membantu mengatasi masalah keciciran pembelajaran dan kos sara hidup keluarga bagi kanak-kanak gelandangan serta terpinggir,” katanya.

Selain itu, Fadhlina berkata, KPM bersama-sama Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) akan terus memperkasa pengurusan pengambilan pegawai perkhidmatan pendidikan bagi mengatasi isu kekosongan guru dalam mata pelajaran kritikal.

“Beberapa kaedah dan pendekatan strategik telah dipersetujui dan akan dilaksanakan termasuk peluasan kluster mata pelajaran bagi membolehkan lebih ramai calon berpotensi dilantik sebagai guru.

“Pengambilan juga diperluaskan kepada graduan-graduan berpotensi tinggi dari universiti swasta dan universiti luar negara bagi mata pelajaran kritikal dan sukar mendapat calon dari Universiti Awam seperti Bahasa Inggeris, Bahasa Melayu, Rekabentuk dan Teknologi dan Pendidikan Islam,” katanya.

Tambahnya, bagi perkara kelima, KPM bersetuju membenar dan memberi kelonggaran pemakaian baju korporat rasmi kementerian sewaktu bertugas bagi memberi keselesaam kepada guru-guru.

“Perkara seterusnya ialah pemansuhan kutipan sumbangan Hari Guru sejajar dengan hasrat KPM untuk memberi fokus kepada kebajikan dan mengurangkan beban tugas guru.

“Perkara ketujuh ialah mempertingkat peranan kumpulan Guru Insani Malaysia (GIM) yang bertujuan melahir pemimpin pelapis yang memahami dasar, semangat jati diri, patriotik, kreatif, berbakat, dan semangat kesukarelawanan dalam kalangan guru melalui bimbingan guru berpengalaman,” katanya.

Seterusnya, beliau memaklumkan, KPM bakal mempertingkat peranan Yayasan Guru Tun Hussein Onn (YGTHO) dalam meningkatkan profesionalisme guru dan menjaga kebajikan guru.

Katanya, YGTHO berfungsi untuk membantu KPM mengadakan program pembangunan sumber manusia dalam meningkatkan pembangunan profesionalisme guru untuk pendidikan negara yang berkualiti.

Manakala perkara kesembilan yang akan menjadi fokus KPM dalam menjaga kebajikan guru ialah penambahbaikan Standard Guru Malaysia 2.0 (SGM 2.0) yang menyaksikan penyertaan guru dalam SGM 2.0 melalui Sistem Guru Malaysia (SGMy) diiktiraf dan dianugerahkan mata kredit dalam Sistem Pengurusan Latihan KPM (SPLKPM).

“Perkara terakhir iaitu yang kesepuluh ialah KPM dengan kerjasama rakan strategik menyediakan peluang merehatkan minda melalui Program Cuti-cuti Cikgu mampu milik.
“Program ini ditawarkan melalui potongan harga tiket penerbangan, penginapan, pengangkutan darat serta taman tema dengan kerjasama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, (Tourism Malaysia), Kementerian Pengangkutan Malaysia, Airasia, Traveloka, dan Bank Rakyat.

“Selain menghargai sumbangan guru menerusi peluang pakej percutian menarik, inisiatif ini turut dapat mempromosikan destinasi pelancongan dan merancakkan ekonomi negara,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2431
Kongsi :
Previous post Tubuh pasukan khas semarak minat pelajar dalam sains, teknologi – PM
Next post Kasari bayi: Wanita direman empat hari mulai hari ini
Ubah saiz-+=