Tubuh pasukan khas semarak minat pelajar dalam sains, teknologi – PM

Masa Membaca:1 Minit, 19 Saat

AYER KEROH 16 Mei – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menubuhkan pasukan khas bagi menyuntik minat pelajar dalam bidang sains dan teknologi.

Katanya, pasukan khas itu perlu memandangkan minat dalam dua bidang itu semakin merosot, khususnya dalam kalangan pelajar luar bandar.

Tambahnya, dalam era teknologi masa kini, minat terhadap sains dan teknologi perlu diperkasakan bermula dari sekolah.

“Saya telah minta Menteri Pendidikan wujudkan pasukan khas dalam mencari jalan menyuntik semula semangat anak-anak supaya bukan sahaja dididik sebagai manusia tetapi juga diberikan bimbingan tentang cabaran dan disiplin baharu dalam bidang teknologi dan sains.

“Berdasarkan kajian awal, minat anak-anak terutama di desa, pedalaman dan miskin bandar dalam bidang sains, teknologi juga merosot. Ini cabaran bagi kita dan negara.

“Sedang negara menuju ke bidang teknologi hijau serta kereta elektrik, selain cabaran iklim dan digitalisasi, tetapi kita tidak cukup anak-anak yang terlatih dalam bidang pengkhususan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan Tahun 2023 bertemakan Guru Insani Pemangkin Generasi MADANI di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh; Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek; Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Zaidi Johari; Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Wira Ibrahim Durum; barisan Exco Kerajaan Negeri dan lain-lain kenamaan.

Dalam ucapannya, Anwar turut menyeru guru-guru di negara ini untuk melonjakkan semangat bagi mengangkat negara dengan kekuatan bahasa, sastera, budaya, nilai, akhlak dan teknologi.

Ia bagi membolehkan Malaysia menjadi sebuah negara hebat di rantau asia.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1223
Kongsi :
Previous post KPM umum inisiatif Cuti-cuti Cikgu
Next post KPM umum 10 prakarsa kebajikan guru
Ubah saiz-+=