MAIM TAMPIL BANTU PESAKIT SINDROM STEVENS-JOHNSON

Masa Membaca:1 Minit, 7 Saat

KOTA LAKSAMANA 2 Oktober – Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) tampil membantu seorang pesakit sindrom Stevens-Johnson, Hamdan Hashim, 39, memerlukan kira-kira RM30,000 bagi menjalani rawatan khusus untuk memulihkan penglihatannya.

Penolong Setiausaha Bahagian Agihan Zakat MAIM, Norazmi Hussin berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai keadaan Hamdan menerusi media sosial sebelum turun padang menziarahinya di kediamannya di Kampung Morten, di sini, hari ini.

Menurutnya, keperluan paling mendesak ketika ini adalah mendapatkan dana mencukupi bagi membolehkan rawatan penglihatan Hamdan dijalankan pada bulan depan.

“Kami datang untuk memudahkan urusan pemohon dan memastikan bantuan dapat disalurkan dengan segera. Proses permohonan dan siasatan turut dilaksanakan terus di rumahnya.

“Insya-Allah, minggu depan kami akan bawa perkara ini ke dalam mesyuarat khusus bagi mempertimbangkan bantuan yang bersesuaian.

“Antara yang kami fikirkan ialah bantuan makanan bulanan kerana dia dan isteri turut menjaga neneknya, selain bantuan sakit kronik kepada Hamdan,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Beliau berkata, MAIM turut memberi perhatian terhadap rawatan dan pembedahan yang diperlukan Hamdan, dengan komitmen untuk membantu menanggung sebahagian daripada kos berkenaan.

Norazmi berkata, usaha itu bagi memastikan keperluan dana yang diperlukan dipenuhi dan rawatan Hamdan dapat dilaksanakan mengikut tempoh ditetapkan.

“Kita berharap bantuan yang disalurkan dapat membantu pesakit mendapatkan rawatan bagi memulihkan penglihatannya, selain meringankan beban kewangan pasangan ini yang turut memikul tanggungjawab menjaga ahli keluarga,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

357
Kongsi :
Previous post TOK RAUF TUNAI SOLAT JUMAAT DI MASJID PENGKALAN BALAK YANG BERWAJAH BAHARU